formula

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mencari satu lagi formula bagi menambah baik tatakelola Approved Permit (AP) dan Permit Import (IP) bertujuan untuk meningkatkan daya saing negara, ujar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mesyuarat Majlis Tindakan (MTEN) pertama tahun ini, semalam.

Anwar turut menyatakan bahawa perkara yang disebut adalah penting kerana ianya bukan sahaja memberi keuntungan kepada pengguna tetapi juga kepada pengeluar tempatan, lebih spesifik dalam memastikan bekalan makanan negara terjaga dan dalam keadaan yang cukup.

Beliau terus menambah kenyataan di hantaran media sosial Facebook miliknya tentang perkara lain yang dipersetujui.

“Beberapa perkara turut dipersetujui, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisa risiko import.” ujarnya.

  • formula

Anwar yang mempengerusi majlis ini, disertai jemaah menteri turut hadir dalam Mesyuarat Majlis Tindakan (MTEN) pertama tahun ini dan terus membincangkan saranan kepada Ketua Audit Negara tentang pelaksanaan proses audit bagi sektor terpilih untuk memastikan AP dan IP mencapai sasaran dan matlamat yang sudah ditetapkan.

Tambahan lagi, Anwar mengarahkan supaya Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal manakala Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) dimohon untuk terus kajian berkenaan isu kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

“Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tata kelola dan pengimportan barangan halal. Manakala, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diminta mengkaji isu berkaitan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.”tambahnya lagi.

Berkenaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang diluncurkan pada 2 Jan lepas, Anwar berkata mesyuarat membentangkan kemajuan semasa dan memberi pandangan dan pendapat terhadap langkah yang perlu diambil oleh agensi berkaitan, terutamanya berkaitan dengan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran PADU.

Akhir sekali, demi memperkukuhkan keberkesanan perbincangan dan keputusan, Anwar telah bersetuju untuk menambah ahli tetap MTEN yakni Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan juga Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

SUMBER : BERNAMA