PINDAAN terhadap Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 yang dipersetujui secara prinsip oleh Kabinet semalam dijangka memberi kelegaan sementara kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) yang amat bergantung kepada Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi.

Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, kebergantungan tinggi PMKS terhadap LPG menuntut perhatian serius terhadap sebarang dasar yang melibatkan subsidi bahan api tersebut.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, lebih 80 peratus PMKS dalam sektor perkhidmatan adalah perusahaan mikro dan sektor F&B merupakan sebahagian besar daripadanya.
“Jadi, kos operasi mereka sangat sensitif kepada harga bahan api seperti LPG,” katanya ketika dihubungi Negara News.
Menurut Dr. Irwan proses permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) yang diwajibkan untuk menggunakan LPG bersubsidi boleh membebankan perniagaan kecil yang tidak mempunyai sumber atau kepakaran dalam aspek perundangan.
“Pematuhan kepada keperluan permit ini bukan sahaja melibatkan kos tambahan, tetapi juga masa dan kemahiran yang mungkin tidak dimiliki oleh peniaga kecil.
“Ini boleh menjejaskan daya saing mereka dalam pasaran,” jelasnya.
Namun begitu, pindaan PPKB yang membenarkan pengecualian sementara penggunaan LPG bersubsidi tanpa permit untuk perniagaan mikro dan kecil sehingga dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Teknikal di bawah KPDN, dilihat sebagai langkah positif yang dapat mengekalkan kos operasi buat masa ini.
Mengulas dari sudut penguatkuasaan dan keberkesanan subsidi, Dr. Irwan berpandangan bahawa penggunaan data digital dan teknologi adalah kunci utama untuk mengawal penyelewengan tanpa mengganggu operasi peniaga kecil.
“Rekod digital boleh membantu mengesan pembelian luar biasa atau mencurigakan. Kita tidak perlu terlalu ketat dari segi fizikal, cukup dengan sistem pemantauan pintar yang cekap dan sistematik,” tegas beliau.
Bagaimanapun, beliau turut memberi amaran tentang kesan jangka panjang subsidi LPG yang tidak dikawal rapi.
“Subsidi bahan api seperti LPG boleh menyebabkan herotan harga yang tidak mencerminkan kos sebenar. Ia galakkan penggunaan tidak cekap dan menghalang inovasi dalam tenaga alternatif,” katanya.
Selain membebankan fiskal negara, beliau turut mengingatkan bahawa subsidi bersifat pukal boleh bersifat regresif dan tidak adil kerana turut dinikmati oleh golongan mampu atau industri besar yang tidak sepatutnya menerima manfaat tersebut.
Menggariskan pendekatan ke hadapan, Dr. Irwan menegaskan perlunya subsidi LPG ditstruktur semula secara bersasar dengan empat cadangan utama:
1. Bantuan tunai bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang layak, contohnya RM30-RM60 sebulan melalui sistem seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
2. Subsidi khas untuk peniaga kecil seperti penjaja dan pemilik kedai makan, dengan had penggunaan silinder LPG yang dikawal melalui pengedar berlesen.
3. Struktur harga dua tingkat (tiered pricing) bagi membezakan harga bersubsidi untuk pengguna layak dan harga pasaran untuk sektor industri.
4. Peralihan secara berperingkat bagi membolehkan pengguna menyesuaikan diri tanpa kejutan ekonomi secara mendadak.
“Apa yang penting ialah pelaksanaan yang bersasar, telus dan mudah diakses. Subsidi perlu sampai kepada yang benar-benar memerlukan dan bukan diseleweng oleh pihak yang tidak layak,” tegas beliau.
Dr. Irwan turut menyarankan agar kerajaan memperhebat operasi penguatkuasaan seperti Ops Gasak bagi membanteras aktiviti decanting haram dan penyalahgunaan LPG oleh pihak industri tidak layak.
“Gabungan pendekatan pintar, bersasar dan inklusif amat penting dalam memastikan subsidi LPG dapat terus membantu golongan memerlukan tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara.”Dengan pelaksanaan dasar yang bijaksana, kerajaan mampu melindungi perniagaan kecil sambil mengekang ketirisan dan penyalahgunaan sumber awam,” tegasnya.
“Dengan pelaksanaan dasar yang bijaksana, kerajaan mampu melindungi perniagaan kecil sambil mengekang ketirisan dan penyalahgunaan sumber awam,” tegasnya.
