Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan selepas Anwar mengalami kesakitan yang menjejaskan pergerakan beliau.
“Pembatalan saat akhir ini dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah YAB Perdana Menteri mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan terbatas,” jelas kenyataan itu.
Menurut PMO lagi, atas nasihat doktor, Anwar disarankan untuk berehat sepenuhnya bagi memastikan beliau dapat kembali menjalankan tugas dengan baik.
Perdana Menteri turut menyampaikan permohonan maaf kepada rakyat Pahang yang telah bersiap menerima kunjungan beliau, dan menghargai sokongan serta doa semua pihak terhadap kesihatan beliau.
Lawatan ke Pahang itu pada asalnya dijadualkan bagi menghadiri beberapa program rasmi kerajaan termasuk sesi libat urus bersama komuniti setempat dan pelancaran inisiatif pembangunan ekonomi luar bandar.
