PAHANG: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif mendepani krisis banjir di Pahang dengan menggerakkan unit NADI on Wheels (NOW) bagi menyokong keperluan digital dan kebajikan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


Inisiatif tersebut yang mula beroperasi di PPS Bukit Setongkol sejak 19 Disember lalu, bertujuan memastikan mangsa banjir kekal terhubung dan mempunyai akses kepada maklumat tepat meskipun berada di pusat pemindahan.


“Teknologi Satelit Starlink & Tenaga Solar”
Memahami kekangan komunikasi di kawasan bencana, unit NOW dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk satelit Starlink dan sistem tenaga solar mudah alih bagi menjamin kelangsungan akses internet tanpa gangguan.


Selain kemudahan Wi-Fi percuma, unit bergerak ini turut menyediakan:
•⁠ ⁠Peranti digital seperti komputer riba dan tablet.
•⁠ ⁠Kemudahan projektor untuk aktiviti komuniti.
•⁠ ⁠Saringan kesihatan asas melalui Program Perkhidmatan Pintar NADI.


Rapatkan Jurang Digital Di Lokasi Bencana. Menurut kenyataan MCMC hari ini, pengaktifan unit itu susulan peningkatan mendadak bilangan mangsa serta kawasan yang terjejas di negeri berkenaan.
“Pendekatan ini memastikan kesinambungan akses digital dapat dikekalkan, sekali gus menyokong kesejahteraan komuniti terjejas terutamanya golongan rentan dan penduduk di kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.


MCMC turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memantau situasi semasa dan bersedia menggerakkan unit tambahan ke PPS lain yang dikenal pasti dari semasa ke semasa.
Langkah ini selaras dengan peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam merapatkan jurang digital dan sosioekonomi rakyat, khususnya ketika mendepani situasi luar jangka seperti bencana alam