Inisiatif ini menyasarkan golongan bujang berpendapatan rendah, termasuk pekerja gig, yang bergantung kepada pendapatan tidak menentu untuk menyara kehidupan harian serta keluarga.
Bagi Aiman, seorang pekerja gig yang tinggal bersama keluarga dan memikul tanggungjawab menjaga serta menanggung ibu dan ayah yang uzur, bantuan SARA disifatkan sebagai sokongan penting dalam mengurus keperluan asas seisi keluarga.
“Pendapatan sebagai pekerja gig tak menentu. Ada hari cukup, ada hari terpaksa berjimat. Bila ada bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat tampung keperluan dapur dan ubat-ubatan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Aiman, kos sara hidup yang semakin meningkat memberi tekanan besar, terutama apabila perlu memastikan kebajikan ibu bapa yang sudah uzur sentiasa terjaga.
Beliau menyifatkan bantuan yang disalurkan tepat pada masanya sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap realiti kehidupan rakyat, khususnya mereka yang berada dalam sektor pekerjaan tidak formal.
Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa pelaksanaan SARA dibuat secara bersasar dan telus, dengan matlamat utama memastikan tiada rakyat yang tercicir, termasuk golongan pekerja gig dan keluarga berpendapatan rendah.
Dengan penyaluran bantuan kepada jutaan penerima bermula esok, kerajaan berharap inisiatif ini dapat meringankan beban kewangan rakyat, sekali gus membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan bermaruah.
