JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak kandung kepada suspek utama pada Ogos lalu.
Hakim VM Mabel Sheela menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu tunggal berusia 27 tahun dan rakan serumahnya, Awiin Chua, 30, selepas ditangguhkan pada 10 Oktober lalu kerana beliau cuti sakit.
Ketika penghakimannya, Mabel Sheela meluahkan rasa kesal dan sedih terhadap penderitaan selama sebulan yang dialami oleh kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu.
“Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau awak (merujuk kepada ibu mangsa) tanya anak adakah dia mahu mengikut awak, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan merasa sakit.
“Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa (yang) jika ianya berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia,” katanya dengan nada sebak.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir, manakala kedua tertuduh diwakili peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah
Dalam penghujahan Nur Diyana memaklumkan terdapat lebih 20 kecederaan fizikal terhadap tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan pakar perubatan.
Katanya, tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa adalah berterusan selama sebulan kerana kedua tertuduh mempunyai penjagaan terhadap mangsa dan mereka tinggal bersama.
“Kekerapan (penderaan adalah) setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan pengesahan luka lama dan baru serta parut pada tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.
“Mangsa bukan saja dipukul tetapi turut diabaikan, yang mana mangsa ditinggalkan berseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul,” katanya.
Selepas mengambil kira penghujahan pendakwaan, Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua.
Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bagi dua pertuduhan itu bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 12 Ogos lalu.
Mengikut kertas pertuduhan pertama (penganiayaan), kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.
Manakala, bagi pertuduhan kedua (pengabaian), mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.
Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, pada tempoh antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tiba di perkarangan mahkamah jam 9 pagi dilihat tenang dan bersedia menerima hukuman yang bakal dijatuhkan hakim terhadap mereka.
Pada 16 Ogos lalu, ibu tunggal itu dan Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Bagaimanapun, pada 27 September lalu, kedua-dua mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Mabel Sheela.
Awal Ogos lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya adalah ibu kandungnya.
Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mangsa.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian
