KUALA LUMPUR, 29 Jan – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkenalkan undang-undang baharu bagi melarang pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berdaftar asing.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron berkata langkah tersebut selaras dengan prinsip keadilan sosial serta perlindungan pengguna, khususnya dalam memastikan subsidi kerajaan disalurkan kepada golongan yang layak.
Beliau berkata, peruntukan sedia ada melalui Peraturan 12A hanya memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap penjual, sekali gus mewujudkan kekangan dalam aspek penguatkuasaan.
“Cadangan pengenalan perundangan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 akan menutup ruang ketirisan kerana pembeli turut tertakluk kepada tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MPPN, penyaluran subsidi tanpa kawalan yang ketat boleh menyebabkan pembaziran sumber awam, meningkatkan risiko penyalahgunaan serta memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara.
Selain itu, langkah tersebut juga dilihat mampu memastikan pasaran petrol negara kekal mampan dan tidak dimonopoli oleh pihak luar yang mengambil kesempatan terhadap harga subsidi.
MPPN menegaskan komitmen untuk terus menyokong dasar kerajaan yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Dalam masa sama, orang ramai dan pengusaha stesen minyak digesa mematuhi peraturan demi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
