JELEBU – Seorang ibu kepada pelajar Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) meluahkan rasa kesalnya apabila anaknya bersama pelajar lain di sekolah berkenaan dihidangkan makanan busuk dan berulat.
Menerusi hantaran di laman media sosial Facebook, ibu tersebut mendedahkan bahawa makanan yang dihidangkan kepada anaknya jelas sudah tidak boleh dimakan, namun tetap dihidangkan juga oleh pihak dewan selera.
Malah, menurutnya perkara ini bukanlah kejadian pertama kali di sekolah berasrama penuh itu dan ramai pelajar yang sudah keracunan makanan.
“Makanan DS (Dewan Selera) yang dihidangkan dekat MRSM hari ini, yang menyebabkan ramai anak-anak sakit perut cirit birit.
“Dah nampak tembelang macam ini masa kupas telur tapi masih hidangkan dekat anak-anak. Mana hati perut mereka ya. Ini bukan pertama kali hidang makanan buruk macam ini. Harap pentadbiran tamatkan (perkhidmatan) terus lah,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.
Ibu tersebut turut menjelaskan bahawa sebelum ini, telah berlaku kejadian di mana makanan yang dihidangkan terlalu pedas sehingga membuatkan pelajar sakit perut.
“Kes hari itu bagi anak-anak makan cili pedas teramat sampai sakit perut, dah janji nak buat makanan elok-elok, tetapi sekarang jadi macam ini pula,” katanya.
Si ibu mengakhirkan tulisan pada hantarannya dengan rasa kesal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dan risau terhadap anaknya serta pelajar lain yang akan terganggu untuk ulangkaji pelajaran bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang semakin hampir.
“Sampai hati. Anak-anak tingkatan 4 dan tingkatan 5 dah nak periksa (tetapi) sakit perut pula, tidak dapat ulangkaji pelajaran dengan baik.
“Geram betul. Macam mana nak bagi mereka (pihak dewan selera) prihatin dekat anak-anak ini kalau hati busuk dan tidak ikhlas untuk buat kerja,” katanya dalam hantaran yang sama.
Hantaran yang telah mendapat lebih satu ribu tanda suka, komen dan lebih dua ribu share itu akhirnya mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan bahawa Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA akan segera ambil tindakan tegas dan memastikan agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.
“Saya sudah mengarahkan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk segera ambil tindakan tegas dan pastikan kes eperti ini tidak berulang. Tiada kompromi terhadap Kontraktor dewan selera yang ambil mudah dan enteng dalam isu penyediaan makanan pelajar.
“Jika didapati kecuaian ini benar-benar berlaku, MARA pastinya akan ambil tindakan tegas termasuklah menamatkan kontrak sebagaimana perjanjian dan peraturan yang ditentukan,” jelas beliau.
Tiada pelajar terlibat gejala keracunan makanan seperti didakwa – MARA
Dalam perkembangan baru, Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengeluarkan satu kenyataan bahawa tiada pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terlibat dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa di laman media sosial, baru-baru ini.
Menurut kenyatan MARA, hasil pemeriksaan rapi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan pihak pengurusan MRSM mendapati prestasi kebersihan Dewan Selera yang bertanggungjawab menguruskan penyediaan makanan kepada pelajar adalah pada tahap yang baik.
Dalam masa yang sama, proses pengendalian makanan juga mematuhi standard yang ditetapkan.
“Tindakan segera telah diambil oleh pihak pengurusan MRSM dengan menghubungi PKD bagi menjalankan siasatan segera ke atas Dewan Selera tersebut.
“Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM telah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera,” kata MARA.
Sementara itu, MARA memberi jaminan akan sentiasa memastikan perkhidmatan pembekal makanan untuk pelajar memathui Prosedur Operasi Standard (SOP).
Justeru, MARA memohon supaya ibu bapa tidak bimbang dengan dakwaan yang tular itu.
“MARA sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelejar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama ini berlaku, mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” jelas MARA.
Sumber: Facebook, MalaysianGazette




