KUALA LUMPUR – Kerajaan menginginkan untuk menghidupkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang boleh dijadikan sebagai satu inisiatif yang relevan untuk mencari generasi muda yang boleh menjadi pewaris bangsa yang berintegriti, mempunyai nilai perpaduan dan nilai kemanusiaan dalam diri.
Pada tanggal 9 Oktober yang lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengumumkan bahawa kerajaan akan melanjutkan PLKN 3.0 dengan cara pelatihan yang berbeza, yang juga akan melibatkan generasi muda dalam menjalani latihan di 13 kem tentera Wataniah yang boleh menampung seramai 20,000 pelatih bagi latihan PLKN selama 45 hari.
Berikutan pengumuman itu, Noor Mohamad Shakil Hameed yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) berpendapat bahawa program seperti PLKN perlu dilakukan kembali untuk menghadirkan semula semangat nasionalisme yang sudah kian lama menghilang didalam jiwa generasi muda.
Perkembangan teknologi yang pesat juga merupakan salah satu faktor penyumbang nasionalisme berkurang didalam negara, dengan adanya pelbagai pengaruh negatif dari luar menerusi pelbagai sosial media yang wujud dikeliling kita.
“Dalam usaha ini, kita tidak mahu generasi muda hanya asyik terperangkap dalam dunia digital dan menjadi hamba kepada peranti elektronik tanpa mempedulikan perkara-perkara penting yang berlaku dalam negara kita dan di sekeliling mereka. Saya percaya bahawa program sebegini mampu menyedarkan generasi muda tentang tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa, dan negara.”
“Ini juga membantu membentuk mereka menjadi warganegara yang bersemangat waja dan memiliki jati diri yang tinggi serta kalis cabaran masa hadapan,”ujar beliau dalam satu kenyataan menerusi sumber BERNAMA.
Beliau juga berkata modul latihan dan pembelajaran PLKN 3.0 perlu diberikan perhatian dan disiap siagakan supaya ia kekal relevan pada masa kini.
Selain itu, modul fizikal, latihan ketenteraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti perlulah sejajar dengan peredaran masa kini dan lebih khusus mengikuti Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan institusi raja, agama dan bangsa supaya pemahaman mereka tepat mengikut sumber yang betul, tambahnya lagi.
Berkenaan cadangan untuk melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai jurulatih dalam PLKN, Dr. Mohammad Nidzam Abd Kadir, seorang Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia UPM, berpendapat ini merupakan inisiatif yang baik dalam memupuk nilai-nilai disiplin di kalangan peserta latihan.
Beliau juga menegaskan bahawa pemilihan peserta PLKN sepatutnya tidak dilakukan secara rawak, tetapi harus berdasarkan kriteria tertentu. Jika seseorang pelajar sudah mempunyai akhlak yang baik, mereka mungkin patut dikecualikan daripada senarai peserta. Selain itu, pemilihan peserta juga harus melibatkan mereka yang menghadapi masalah disiplin di sekolah, sebagai sebahagian daripada usaha pembentukan diri pelajar.
Dr. Mohammad Nidzam juga menyatakan bahawa tempoh pelaksanaan PLKN selama 45 hari adalah mencukupi, tetapi penting untuk memberikan tumpuan kepada kandungan modul dan penyelenggaraannya supaya latihan yang dijalankan berada pada tahap kualiti yang tinggi.
Sumber : BERNAMA
: PLKN 3.0 dapat mencari pewaris bangsa yang berintegriti – Pakar

