SUNGAI BESAR – Polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden memukul seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, di sini, Ahad lalu.
BACA: Lelaki Berang Akibat Dihon, Pemandu Lori Sampah Cedera
Suspek yang merupakan seorang warga tempatan berusia lewat 50-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sebuah rumah di kawasan Pandan Perdana, Kuala Lumpur pada jam 2 pagi, kelmarin (Isnin).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, polis juga berjaya merampas kayu yang (dipercayai) digunakan semasa kejadian bersama pengunci stereng dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus.
“Semakan rekod mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau melibatkan kes ugutan jenayah serta mencederakan orang.
“Saringan ujian awal kencing turut dijalankan dan suspek didapati negatif dadah,” katanya.
Agus Salim berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek sudah dijalankan di hadapan Majistret Mahkamah Kuala Selangor.
“Beliau (Majistret) membenarkan reman selama tiga hari ke atas lelaki (suspek) terbabit.
“Melalui siasatan terperinci yang dijalankan dan berdasarkan keterangan-keterangan yang diperolehi, (polis telah) mendapati suspek positif terlibat dengan kejadian yang tular,” katanya.
Pada isnin, media melaporkan mangsa iaitu seorang pemandu lori sampah berusia 37 tahun telah dipukul dan diugut selepas membunyikan hon kerana kenderaan suspek menghalang laluan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa yang memandu lori untuk mengutip sampah di kawasan Panchang Bedena.
Sumber: BuletinTV3
