sukan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membenarkan semula aktiviti luar bilik darjah yang sebelum ini ditanggungkan berikutan fenomena cuaca panas yang tidak menentu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Norisah Suhaili berkata aktiviti luar dibenarkan dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan serta keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana ketika pelaksana berhadapan fenomena cuaca panas terjamin.

“Kebenaran ini adalah berpandukan Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semua institusi pendidikan di bawah KPM yang melaksanakan aktiviti luar bilik darjah perlu memastikan penyertaan murid adalah secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga.

Sehubungan dengan itu, murid digalakkan untuk memakai pakaian bersesuaian dan berwarna cerah selain menerangkan mereka langkah, pencegahan, simptom dan tindakan rawatan.

Kemudahan untuk penyejukan seperti kanopi, ais tuala basah perlu disediakan di bawah garis panduan berkenaan dan murid digalakkan membawa bekalan air minuman dan minum sebelum, semasa dan selepas aktiviti luar bilik darjah.

Dalam pada itu, pelaksana juga perlu memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas selain membenarkan waktu rehat tambahan yang mencukupi dan waktu pemulihan (cooling down).

Semua aktiviti luar yang sedang berlangsung perlu ditangguhkan, sekiranya suhu cuaca melebihi 35°C.

Sebelum ini, pada 5 Mei lalu, semua institusi pendidikan di bawah KPM perlu menangguhkan aktiviti luar membabitkan murid, guru dan pensyarah susulan fenomena cuaca panas.

Larangan itu termasuk aktiviti seperti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) luar bilik darjah.

– Harian Metro