KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara (KAN) digesa menyiasat status projek mesin layan diri nasi lemak yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli ketika beliau menjadi Menteri Ekonomi sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata siasatan itu perlu dilakukan untuk menetukan sama ada projek itu masih berkesan, tiada pembaziran atau berlaku tindakan menaikkan harga pembelian mesin itu.

“Saya mendesak KAN mesti menyiasat status projek tersebut. Apakah masih berkesan, tidak membazir dan tidak ada ‘make up’ pembelian masin layan diri itu.

“Jangan jadi macam projek MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Harga satu kiosk RM25,000. Mahal dan membazir kerana banyak kiosk kosong,” katanya melalui kenyataan, di Facebook.

Projek mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INSAN) yang menjual nasi lemak dan makanan lain diperkenalkan pada 26 Februari 2023. 

Inisiatif itu dilancarkan Kementerian Ekonomi untuk membantu golongan B40 menjana pendapatan tambahan dengan sebanyak 100 mesin pertama mula beroperasi pada bulan Jun 2023.

Semalam, Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan melalui Konvensyen PKR Johor mengkritik projek diterajui Rafizi yang bernilai RM750 juta itu.

Pada masa sama, Mohd Puad berkata, siasatan perlu dilakukan segera kerana projek itu membabitkan isu rakyat, apatah lagi ia membabitkan nilai yang besar.

“Ramanan adalah seorang menteri. Kritikannya terhadap projek Rafizi di hadapan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“Patutlah dia tuduh Rafizi menteri paling gagal. Ramanan menganggap projek itu gagal. Sebab itu dia berani menasihati Perdana Menteri secara terbuka supaya lain kali pilih Menteri Ekonomi yang betul-betul layak,” katanya.