KUALA LUMPUR, 17 Mei – Dakwaan penyaluran dana asing ke dalam landskap politik tempatan kini mencetuskan kebimbangan serius apabila Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan oleh pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan media hari ini, AMK menegaskan bahawa isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan soal kedaulatan negara, keselamatan politik serta kestabilan institusi demokrasi.

Menurut laporan yang beredar, sebuah organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat, The Tides Foundation, didakwa menyalurkan dana melebihi RM1.5 juta kepada sebuah syarikat tempatan, MANDIRI Development Centre Sdn. Bhd., melalui beberapa transaksi antara November 2024 hingga Jun 2025.

Lebih membimbangkan, dana tersebut dikatakan turut disalurkan kepada beberapa individu tempatan dan dipercayai digunakan bagi membiayai operasi media sosial, gerakan propaganda politik serta mobilisasi protes jalanan.

AMK memberi amaran bahawa jika dakwaan ini benar, Malaysia berisiko menjadi medan campur tangan kuasa asing yang cuba mempengaruhi naratif politik domestik melalui proksi tempatan. Keadaan ini bukan sahaja boleh menggugat kestabilan politik, malah berpotensi menjejaskan ekonomi, keyakinan pelabur serta keharmonian sosial negara.

Sehubungan itu, AMK mendesak pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia untuk menjalankan siasatan bebas, telus dan tanpa kompromi terhadap semua pihak yang terlibat.

Menurut AMK lagi, sebarang pelanggaran undang-undang termasuk unsur pengubahan wang haram atau penyalahgunaan dana asing bagi tujuan politik perlu dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, rakyat Malaysia berhak mendapat penjelasan yang jelas dan tuntas bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dan tidak dipermainkan oleh mana-mana pihak.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim, yang menegaskan bahawa kestabilan politik negara perlu dipertahankan terutama dalam suasana cabaran ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.