TANJONG MALIM, 11 Jun 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang seni persembahan apabila dinobatkan sebagai Johan Festival Teater Peringkat Zon Utara 2026 menerusi penyertaan Rumah Bakat, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) yang mewakili Negeri Perak dalam pertandingan berprestij itu.
Kejayaan tersebut turut diserikan dengan kemenangan dua anugerah utama iaitu Anugerah Sinografi Terbaik yang dimenangi oleh pensyarah pelatih Jabatan Seni Persembahan Program Teater, Nazrur Dini Roslan serta Anugerah Pengarah Terbaik yang diraih oleh Pensyarah Jabatan Seni Persembahan Program Teater FMSP UPSI, Nadhilah Suhaimi.
Kemenangan itu sekali gus meletakkan Negeri Perak sebagai juara Festival Teater Zon Utara tahun ini dengan menewaskan Kedah yang muncul naib johan dan Perlis di tempat ketiga.
Dekan Fakulti FMSP UPSI, Profesor Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani berkata kejayaan tersebut merupakan hasil kesungguhan dan komitmen seluruh warga fakulti yang sentiasa berusaha menghasilkan karya seni persembahan berkualiti tinggi serta berimpak kepada pembangunan industri kreatif negara.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah berupaya melahirkan bakat seni persembahan yang kompeten dan mampu bersaing di pentas yang lebih besar. Kemenangan ini adalah hasil gabungan kreativiti mahasiswa, kepakaran pensyarah serta semangat kerja berpasukan yang sangat tinggi.
Beliau berkata kejayaan yang diraih itu juga mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan amali yang diterapkan di FMSP dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta mempunyai pengalaman profesional dalam bidang seni persembahan.
“FMSP akan terus komited memperkasa ekosistem seni persembahan melalui penghasilan karya-karya berkualiti dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi seni serta budaya bagi memastikan bakat mahasiswa terus berkembang dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Penyertaan Rumah Bakat FMSP UPSI dalam festival itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan besar yang dicapai dalam Festival Teater Negeri Perak 2025 sehingga melayakkan kumpulan berkenaan dipilih sebagai wakil rasmi negeri ke pertandingan peringkat zon utara.
Dalam pertandingan tersebut, UPSI mempertaruhkan naskhah berjudul Tuan Puteri Dari Makkah, iaitu adaptasi skrip karya Profesor Madya Dr. Lena Farida Hussain Chin yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UPSI.
Produksi berkenaan melibatkan kolaborasi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater), Program Tari serta Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik yang berganding bahu menjayakan keseluruhan produksi secara profesional dan berkualiti tinggi.
“Kami percaya seni persembahan merupakan medium penting dalam membentuk nilai kemanusiaan, kreativiti dan kepimpinan mahasiswa. Justeru, pencapaian ini menjadi pemangkin untuk terus melahirkan lebih banyak karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan budaya dan warisan negara,” katanya.

Gambar 1: Produksi Rumah Bakat, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI bergambar kenangan selepas meraih Johan Festival Teater Peringkat Zon Utara 2026 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenenian Negara, Perlis.

Gambar 2: Produksi Rumah Bakat, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI bergambar kenangan selepas meraih Johan Festival Teater Peringkat Zon Utara 2026 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenenian Negara, Perlis.

Gambar 3: Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Rusdi Yahya (tiga dari kiri) ketika menyerahkan sijil Anugerah Sinografi Terbaik kepada Nazrur Dini (tiga dari kanan) pada Festival Teater Peringkat Zon Utara 2026 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenenian Negara, Perlis.

Gambar 4: Nadhilah Suhaimi (tiga dari kanan) ketika meraih Anugerah Pengarah Terbaik pada Festival Teater Peringkat Zon Utara 2026 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenenian Negara, Perlis.
