KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memulakan rundingan terhad bagi beberapa projek demi kepentingan rakyat dalam usaha menghentikan kelulusan perolehan tanpa tender secara terus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyatakan bahawa kelonggaran telah diberikan kepada pejabat daerah untuk melaksanakan tender terhad bagi projek-projek seperti pembaikan sekolah dan klinik yang memerlukan perbaikan.
“Kita memberi ruang kepada pegawai daerah di peringkat tertentu dalam kementerian-kementerian. Contohnya, bagi projek seperti sekolah yang memerlukan pembaikan, klinik yang memerlukan pembaikan, jika nilai projek tersebut tidak melebihi RM1 juta, maka pejabat daerah diberikan kelonggaran untuk melaksanakan tender terhad.
“Dalam kes pembaikan lif yang sudah uzur, jika kita melalui proses tender, ia mungkin memakan masa tiga bulan untuk dilaksanakan. Oleh itu, bagi lif yang perlu diganti atau diperbaiki dengan nilai antara RM500,000 hingga RM1.2 juta, harga perolehan kerja tersebut juga diproses lebih cepat melalui tender terhad, terbatas atau prakelayakan terpilih,” kata beliau.
Anwar menyampaikan kenyataan tersebut dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini, sebagai jawapan kepada soalan Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin mengetahui sama ada pembaharuan dalam proses pemberian tender oleh kerajaan telah menyebabkan kelewatan dalam pelaksanaan projek untuk rakyat.
SUMBER DARI AWANI
