RISDA

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan usaha sekurang-kurangnya 100,000 hektar ladang getah terbiar akan dihidupkan semula bertujuan untuk memajukan semula sektor itu, sekali gus membantu penoreh getah meningkatkan pendapatan mereka.

Jumlah sebanyak 100,000 tersebut merupakan jumlah sasaran RISDA dari jumlah keseluruhan 420,000 hektar ladang getah yang terbiar di negara ini yang disebabkan isu-isu semasa seperti kekurangan tenaga kerja dan ketidakstabilan harga pasaran.

Manndzri Nasib, selaku pengerusi RISDA berkata jika usaha tersebut dilaksanakan, akan ada kira-kira 52,000 kebun dibawah seliaan RISDA akan terbabit dalam projek berkenaan.

  • RISDA

Beliau juga menyatakan RISDA berhasrat untuk menguruskan semula ladang getah yang terbiar itu menggunakan konsep estet melalui syarikat milikannya dalam usaha meningkatkan daya saing sektor itu di negara ini.

Selain itu, katanya RISDA juga merancang untuk uruskan ladang itu menggunakan pelbagai kaedah iaitu pajakan, perkongsian keuntungan dimana pemilik kebun turut serta dalam proses pengurusan ladang.

“Saya sudah meminta untuk pihak RISDA membuat kajian bagi menguruskan balik ladang getah tidak diusahakan itu secara estet, antaranya membabitkan lokasi di Kelantan dan Sarawak.

“Jika ia dipersetujui, usaha ini berupaya memberi kesejahteraan kepada pekebun kecil yang sebelum ini mungkin tidak mahu menguruskan ladang kerana harga getah yang rendah. Kita mahu mewujudkan keadaan yang boleh memberikan situasi ‘menang-menang’.

“Pada tahun ini, kita boleh mulakan dengan 100,000 hektar ladang tidak bertoreh dan untuk sasaran seterusnya mungkin 200,000 hektar pula boleh diuruskan semula,” ujar Manndzri Nasib.

Manndzri yang baharu sahaja dilantik sebagai Pengerusi RISDA pada awal bulan ini terus memfokuskan usaha untuk mensejahterakan kira-kira 552,543 pekebun kecil dibawah seliaan pihak berkuasa.

Setakat ini, RISDA menyelia lebih kurang sejuta hektar ladang getah di negara ini dan dengan setiap 100 batang pokok itu, 86 daripadanya diuruskan oleh pihak berkuasa terbabit.

Kebanyakan pekebun kecil di bawah RISDA ketika ini sudah mencapai usia 58 tahun ke atas namun masih berupaya menyumbang sebanyak 85.3 peratus pengeluaran getah asli berbanding sektor estet pada 14.7 peratus.

SUMBER : BERITA HARIAN, RISDA WEBSITE