DI sebalik kecanggihan era digital yang semakin terbuka, kenyataan yang dibuat oleh para pempengaruh media sosial perlu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.
Sebagai contoh isu melibatkan seorang pempengaruh, Aliff Ahmad dan kenyataan beliau terhadap anak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Nurul izzah menjadi bukti perlunya mekanisme kawal selia yang lebih tegas dalam ekosistem media sosial.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Syahirah Abdul Shukor berkata, sebarang pendedahan maklumat peribadi individu tanpa kebenaran boleh melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.
“Adalah dikhuatiri kenyataan yang melibatkan data peribadi seseorang sehingga mengakibatkan penyebaran data peribadinya tanpa kebenaran, melanggar PDPA 2010,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu atau fitnah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Isu ini turut mencetuskan semula perbincangan tentang keperluan pelesenan bagi pempengaruh media sosial.
Menurut beliau, cadangan ini pernah dikemukakan oleh mantan Presiden SENIMAN, Zed Zaidi bagi memastikan pempengaruh tidak menyentuh isu sensitif seperti agama, raja dan kaum (3R).
“Apabila kenyataan yang dikeluarkan boleh menimbulkan penuh tanda tanya dan spekulasi, ada keperluan untuk kawal selia (self-regulation) yang lebih ketat terhadap kandungan media sosial,” ujar Dr. Syahirah lagi.
Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai bidang kuasa menyiasat kandungan media sosial di bawah Seksyen 211 dan 233 AKM 1998.
“Kandungan berbentuk kritikan politik atau peribadi tidak semestinya melanggar undang-undang, selagi tidak menjurus kepada penghinaan, hasutan atau kebencian.
“Perkataan seperti ‘scrut — yang berasal daripada perkataan ‘scrutinize’ juga tidak bersifat jenayah secara automatik.
“Namun, jika digunakan dalam konteks ugutan atau intimidasi, ia boleh disiasat di bawah Seksyen 233 AKM 1998 atau Seksyen 503 dan 507 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Justeru, sekiranya kenyataan yang dikeluarkan oleh pempengaruh mengganggu ketenteraman awam, tindakan undang-undang boleh dikenakan, termasuk kompaun, denda atau penjara.
“Malah, kandungan juga boleh dipadamkan atau akaun disekat. Namun begitu, proses keadilan tetap dijamin.
“Due process bermula daripada siasatan oleh pihak berkuasa, peluang membela diri, hingga kepada pendakwaan terbuka di mahkamah.
“Semua pihak berhak untuk diwakili dan membuat rayuan,” jelas belia.
Mengulas lanjut, Dr. Syahirah berkata, Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara.
“Namun, hak ini tidak mutlak. Ia tertakluk kepada sekatan berkaitan keselamatan negara, ketenteraman awam, moral dan perlindungan reputasi orang lain.
“Fitnah dan gangguan boleh dikenakan tindakan sivil mahupun jenayah,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai Akta Perkongsian Data 2025 yang diluluskan pada 28 April 2025.
Menurutnya, akta itu menyediakan kerangka undang-undang bagi perkongsian data antara sektor awam dan swasta dengan tujuan meningkatkan kecekapan, memacu inovasi serta memastikan perlindungan privasi individu.
“Akta ini penting bagi mengekalkan keseimbangan antara penggunaan data untuk pembangunan dengan keperluan menjaga hak individu dan kepercayaan orang ramai,” ujarnya.
Oleh itu, beliau berpendapat kes Aliff Ahmad membuktikan bahawa pempengaruh media sosial perlu lebih peka terhadap implikasi undang-undang ketika mengeluarkan kenyataan di ruang awam.
“Tanggungjawab moral dan undang-undang perlu berjalan seiring dalam memastikan media sosial tidak menjadi medan penyebaran fitnah atau gangguan terhadap individu lain.
“Tidak kiralah siapa yang ingin di‘scrut’, jika tak pasti – jangan kongsi,” tegas Dr. Syahirah sebagai nasihat akhir kepada pengguna media sosial.
