CYBERJAYA – Dalam usaha memperkukuh dasar berasaskan data dan mempertingkatkan ketepatan statistik negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan bahawa pengumpulan data telefon bimbit (Mobile Phone Data – MPD) yang dijalankan bersama syarikat telekomunikasi tempatan adalah sepenuhnya untuk tujuan statistik rasmi dan tidak melibatkan pendedahan maklumat peribadi pengguna.
Langkah ini, menurut MCMC, adalah selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dalam bidang pengurusan data besar (big data) dan statistik.
Selain itu, ia juga bertujuan menyokong perancangan dasar awam dalam dua sektor utama iaitu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pelancongan.
“Penggunaan MPD adalah sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuh kualiti serta ketepatan statistik kebangsaan.
“Data ini digunakan bagi menghasilkan statistik seperti kadar penembusan jalur lebar mudah alih, bilangan pelancong domestik dan indikator lain yang berkaitan,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.
MCMC turut menegaskan bahawa tiada sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti (Personally Identifiable Information – PII) dikumpul, diproses atau didedahkan sepanjang pelaksanaan inisiatif ini.
Data yang diperoleh daripada syarikat telekomunikasi adalah dalam bentuk anonim dan diagregatkan bagi memastikan keselamatan dan privasi pengguna sentiasa terpelihara.
“Semua data MPD yang dikumpul telah dianonim dan tidak mengandungi sebarang PII.
“Dalam hal ini, syarikat telekomunikasi diberi pilihan sama ada untuk memproses data tersebut dalam sistem dalaman yang selamat dan menyerahkan hasilnya kepada MCMC atau menyerahkan data yang telah dianonim kepada MCMC untuk diproses,” menurut kenyataan itu lagi.
Menerusi pendekatan ini, tiada satu pun maklumat pengguna yang boleh dikesan secara individu, sekali gus menjamin keselamatan data rakyat Malaysia.
Sepanjang dua tahun lalu, MCMC telah mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama semua penyedia perkhidmatan mudah alih termasuk CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YTL bagi memastikan pemahaman bersama terhadap keperluan data serta pelaksanaan langkah-langkah perlindungan privasi.
Antara sesi penting yang diadakan ialah Bengkel Kebangsaan MPD pada 2 hingga 5 September 2024, yang turut disertai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), International Telecommunication Union (ITU), Kementerian Komunikasi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta semua MNO terlibat.
“Inisiatif ini selari dengan amalan terbaik yang telah dijalankan di negara lain seperti Indonesia dan Brazil, di mana data telekomunikasi yang telah dianonim digunakan secara meluas untuk memperkukuh statistik negara, tanpa menjejaskan privasi pengguna,” kata MCMC.
Kerjasama MCMC dengan badan-badan antarabangsa seperti ITU dan United Nations Committee of Experts on Big Data and Data Science turut memastikan pelaksanaan inisiatif ini mengikut piawaian global dengan penekanan terhadap keselamatan data dan hak pengguna.
