LAWATAN rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga negara utama iaitu Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini merupakan langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dengan kuasa-kuasa ekonomi yang memiliki potensi besar untuk kerjasama masa depan.
Lawatan ini tidak hanya melibatkan pertemuan dengan pemimpin tertinggi negara terbabit, malah menyaksikan beberapa sesi libat urus penting dengan pemain industri pertahanan, teknologi dan perdagangan global.
Antara pencapaian utama yang ditekankan termasuk usaha menarik pelaburan asing terus (FDI), perluasan pasaran eksport minyak sawit Malaysia serta perbincangan strategik dalam sektor teknologi hijau dan peralihan tenaga.
Negara seperti Perancis dan Itali telah sekian lama menjadi rakan dagang dalam sektor pertahanan, manakala Brazil pula merupakan antara destinasi utama eksport minyak sawit Malaysia di Amerika Latin.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, tanggungjawab utama seorang Perdana Menteri adalah memastikan hubungan luar negara ditangani secara strategik dan lestari.
“Adalah menjadi tanggungjawab seseorang Perdana Menteri untuk mengadakan hubungan baik dengan negara luar, khususnya dalam merintis kerjasama yang mampu memenuhi keperluan bersama,” jelas beliau ketika dihubungi Negara News.
Perancis, Brazil dan Itali, katanya, adalah antara negara yang telah lama menjalin hubungan erat dengan Malaysia, khususnya dalam sektor kelengkapan pertahanan yang dibeli dari negara-negara tersebut.
“Hubungan yang mesra ini juga membuka laluan kepada bentuk kerjasama lain seperti pertukaran barangan contohnya, pembelian aset pertahanan dengan bayaran secara barter menerusi eksport minyak sawit.
“Melalui hubungan yang baik, ia boleh mendatangkan manfaat lain seperti kemudahan tukaran dagangan. Ini bermaksud hubungan diplomatik yang kukuh membuka jalan kepada kemudahan ekonomi dan perdagangan yang lebih meluas,” katanya lagi.
Dr. Faisol turut menegaskan bahawa manfaat hubungan antarabangsa ini tidak hanya bersifat sementara atau terhad kepada sesebuah kerajaan semasa.
Sebaliknya, ia menjadi legasi diplomatik yang akan diwarisi oleh kerajaan-kerajaan akan datang.
“Itu adalah adat dan tradisi dalam pentadbiran antarabangsa. Hubungan luar negara yang terjalin akan diteruskan walaupun berlaku perubahan kerajaan,” ujarnya.
Dalam konteks lawatan rasmi seperti ini, persoalan tentang manfaat segera atau keberkesanannya sering kali timbul.
Namun, menurut Dr. Faisol, kejayaan sesuatu lawatan rasmi banyak bergantung kepada objektif yang ditetapkan, kesediaan pihak terbabit serta situasi geopolitik semasa.
“Setiap lawatan membawa objektif masing-masing, bergantung kepada agenda perbincangan dan penerimaan kedua-dua pihak.
“Lawatan rasmi adalah langkah diplomasi yang memerlukan masa, perancangan dan persefahaman jangka panjang,” tegasnya.
Secara keseluruhannya, lawatan Anwar ke Itali, Perancis dan Brazil memberi isyarat jelas bahawa Malaysia komited untuk memperkukuh kedudukannya di peringkat global.
Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dengan pendekatan diplomatik yang matang dan berstrategi, negara berpotensi meraih manfaat besar dalam pelaburan, perdagangan dan jaringan keselamatan antarabangsa
