KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Malaysia menegaskan komitmennya untuk meneruskan mandat Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) antara Thailand dan Kemboja walaupun selepas negara tidak lagi memegang jawatan Pengerusi ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, peranan Malaysia dalam usaha menyelesaikan isu sempadan kedua-dua negara jiran itu bukan hanya bersandarkan kedudukan sebagai pengerusi blok Asia Tenggara, sebaliknya lahir daripada kepercayaan serantau terhadap kemampuan diplomasi Malaysia.

“Mandat yang diberikan itu, diminta saya teruskan sehingga keadaan ini selesai. Jadi, ia tidak terlalu terikat dengan kedudukan sebagai pengerusi ASEAN,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjelaskan, meskipun mandat ini bersifat sementara, Malaysia optimis penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh tiga bulan akan datang, selaras dengan sasaran yang telah ditetapkan.

“Tempoh penyelesaian kita jangka selewat-lewatnya tiga bulan. Yang penting, proses rundingan ini berjalan lancar dan kedua-dua negara terbuka untuk mencapai persetujuan,” jelasnya.

Perdana Menteri menegaskan, komitmen Malaysia dalam hal ini mencerminkan peranan negara sebagai penggerak keamanan serantau, sekali gus menonjolkan diplomasi matang yang menekankan kestabilan ASEAN.

Beliau juga menambah bahawa pendekatan ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi pemacu kerjasama serantau yang berterusan, walaupun tanpa kedudukan rasmi sebagai pengerusi