KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Amerika Syarikat (AS) mengangkat kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai contoh teladan dalam diplomasi serantau selepas peranan aktif beliau memudahcara proses damai antara Kemboja dan Thailand.

Dalam kenyataan rasmi Jabatan Negara AS, Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (General Border Committee) yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini disifatkan sebagai langkah awal yang konstruktif bagi mengukuhkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara berjiran itu.

Presiden Donald Trump dan Setiausaha Negara, Marco Rubio, turut menegaskan bahawa komitmen kedua-dua pihak perlu dihormati sepenuhnya demi mencapai keamanan berkekalan.

“Kami memuji Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dalam memudahcara proses ini dan kerana menjadi tuan rumah bersama mesyuarat khas penting pada 28 Julai bersama Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu.

Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang berpengaruh di rantau Asia Tenggara, dengan rekod konsisten menjadi pengantara dalam penyelesaian konflik.

Penganalisis politik melihat pujian daripada Washington ini sebagai tanda keyakinan terhadap kemampuan Malaysia mengimbangi hubungan antarabangsa, selain mengangkat imej negara di mata dunia.

Dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar, langkah Malaysia memimpin usaha damai ini bukan sahaja menjamin kestabilan serantau, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan strategik yang dipercayai oleh kuasa besar dunia.