PUTRAJAYA, 16 Okt – Belanjawan 2026 memperlihatkan wajah baharu kerajaan dalam mengemudi hala tuju ekonomi negara — berpaksikan tatakelola yang tegas, disiplin fiskal yang tinggi, dan keprihatinan mendalam terhadap nasib rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ini bukan sekadar retorik atau teori ekonomi semata-mata, sebaliknya lahir daripada realiti semasa, tekanan fiskal negara, serta dedikasi luar biasa warga Kementerian Kewangan.

“Kita tidak lagi boleh bergantung kepada formula lama. Kini tiba masa untuk kerajaan tampil dengan pendekatan berani yang menyeimbangkan ketegasan dalam pengurusan kewangan dan empati terhadap keperluan rakyat,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan kali ini dijangka memberi fokus kepada pemulihan ekonomi inklusif, pengurusan subsidi yang lebih bersasar, serta pengukuhan institusi bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan setiap sen wang rakyat.

Anwar turut menekankan bahawa segala dasar dalam Belanjawan 2026 digubal dengan mempertimbangkan cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik, dan tekanan terhadap kos sara hidup.

“Ini bukan belanjawan yang dirangka dalam bilik berhawa dingin semata-mata. Ia lahir daripada kefahaman terhadap denyut nadi rakyat dan keperluan reformasi menyeluruh dalam tatakelola fiskal negara,” tambahnya.

Dengan pendekatan baharu ini, kerajaan berharap dapat mengukuhkan keyakinan pelabur, memperkasa rakyat, dan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi kewangan negara