Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui dalam Program Temu Mesra Madani di Kuala Lumpur memaklumkan mekanisme subsidi bersasar termasuk diesel dan petrol RON95 dilakukan secepat mungkin.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengakui pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar yang mahu dilakukan kerajaan itu adalah tidak mudah.
Mengulas lanjut, kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan meneliti beberapa cadangan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar terbabit bersifat efektif.
“Pelaksanaan tidak mudah…kita berusaha ke arah itu melalui pasukan yang kini sedang meneliti beberapa proposal (cadangan)…kalau siap esoklah (untuk pelaksanaan), tetapi kita masih berusaha.
“Ia sangat rumit…kalau elektrik mudah sebab dapat kenal pasti rumah atau kilang, tetapi diesel berbeza dan perkara ini kita perlu kaji,” katanya selepas melawat Pusat Penjaja MADANI, di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengkelasan B40, M40 dan T20 dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.
Kerajaan sebelum ini akan menggunakan Pangkalan Data Utama (PADU) untuk pelaksanaan subsidi bersasar seperti elektrik, petrol RON 95 dan diesel, apabila ia siap tahun depan.
Anwar mengulangi pendiriannya hanya golongan 90 peratus individu yang layak mendapat subsidi perlu diberi perhatian berbanding mereka yang kaya.
“Subsidi mesti hanya untuk mereka yang layak, bukannya golongan kaya seperti sebelum ini, orang sangat kaya pun dapat subsidi haji dan elektrik,” katanya.
– Berita Harian
