KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 setelah Victoria, Australia menarik diri sebagai penganjur.
Kali terakhir negara Malaysia menjadi tuan rumah acara sukan Komanwel ini adalah pada tahun 1998.
Keputusan tersebut datang bersamaan dengan tawaran menarik dari Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), yang menyertakan sumbangan dana sebesar 100 juta pound (RM602 juta) untuk menyokong pelaksanaannya.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia telah menerima tawaran resmi daripada CGF, dan kini pihak berkuasa sedang dalam proses perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai kemungkinan penerimaan tawaran ini.
Presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menegaskan pentingnya pihak kerajaan mempertimbangkan peluang ini sebagai “sekali dalam seumur hidup,” yang berpotensi membawa Malaysia ke puncak kejayaan seperti yang dicapai semasa Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada tahun 1998.
Kejayaan ini diharapkan akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena sukan global.
“CGA Malaysia dan CGF sudah berbincang berhubung peluang buat Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998.
“Oleh itu, CGA Malaysia berpendapat bahawa Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini – beserta sokongan dan pelaburan berkaitan – yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali berada di peta sukan dunia.
“Dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.
“Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” – kata Norza dalam satu kenyataan.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.
Sebelum ini, Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).
Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.18 bilion) kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.
Untuk berita sukan yang lain, boleh lihat – DI SINI
SUMBER : BERITA HARIAN


