KUALA LUMPUR – Di sebalik cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik, Malaysia terus mengekalkan daya tariknya sebagai hab pelaburan strategik di rantau ini apabila mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM89.8 bilion dalam suku pertama 2025.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya memaklumkan, prestasi ini mencatat peningkatan 3.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, melibatkan 1,556 projek dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer.
Lebih membanggakan, pelaburan ini dijangka menjana lebih 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia.
“Hasil ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap dasar negara yang konsisten dan asas ekonomi jangka panjang yang kukuh, meskipun persekitaran pelaburan global semakin mencabar,” menurut MIDA.
Pelaburan asing (FI) terus mendominasi dengan sumbangan RM60.4 bilion (67.3 peratus), manakala pelaburan domestik (DI) mencatat RM29.4 bilion (32.7 peratus).
Singapura mendahului sebagai negara pelabur asing utama dengan nilai RM28.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM9.9 bilion), China (RM7.9 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Taiwan (RM1.7 bilion).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan peningkatan dalam indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) sebagai petanda positif terhadap keupayaan negara mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji baik.
“Indeks MTS meningkat daripada 44.2 peratus pada suku pertama 2024 kepada 46.3 peratus pada 2025.
“Ini membuktikan kejayaan kita membina tenaga kerja berpengetahuan seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Beliau turut optimis bahawa integrasi ekonomi serantau melalui peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan memperkukuh lagi kedudukan negara sebagai hab perkhidmatan dan pembuatan untuk rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman menegaskan bahawa tumpuan kini bukan hanya kepada jumlah pelaburan, tetapi juga pelaksanaan dan impak jangka panjang kepada ekosistem ekonomi tempatan.
“Kami sedang menguruskan prospek pelaburan dalam rundingan bernilai RM59.3 bilion, terutamanya dalam sektor digital, logistik dan semikonduktor,” jelasnya.
Daripada keseluruhan pelaburan, sektor perkhidmatan menyumbang paling tinggi iaitu RM57.8 bilion, meningkat 39.5 peratus berbanding RM41.4 bilion pada suku pertama 2024. Lonjakan ini dipacu oleh pelaburan dalam pusat data dan teknologi digital.
