
DALAM dunia serba digital, kanak-kanak seringkali menjadi mangsa mudah eksploitasi seksual melalui media sosial.
Justeru, pelaksanaan Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) dilihat sebagai langkah penting dalam melindungi golongan ini daripada ancaman tersebut.
Penasihat Mahkamah Kanak-Kanak Daerah Pekan, Rozilawati Mohamed berkata, penguatkuasaan akta ini bukan sahaja menumpukan kepada hukuman tetapi juga melibatkan kerjasama pelbagai pihak untuk menjaga keselamatan kanak-kanak.
Akta ini memperuntukkan Seksyen 233, yang menghukum penggunaan media sosial untuk menyebarkan kandungan lucah, tidak senonoh atau mengancam.
Hukuman berupa denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun boleh dikenakan terhadap pelaku yang terlibat dalam eksploitasi seksual kanak-kanak.
“Seksyen ini memberi isyarat tegas bahawa perbuatan mengeksploitasi kanak-kanak tidak akan ditoleransi.
“Hukuman ini bertujuan untuk memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak terjebak dalam kegiatan jenayah ini,” katanya.
Akta ini juga mewajibkan platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Tindakan segera terhadap laporan pengguna dan kerjasama daripada penyedia platform adalah kunci untuk menyekat penyebaran kandungan lucah yang melibatkan kanak-kanak,” tegasnya.
Melalui peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), aktiviti dalam talian yang mencurigakan dapat dikesan menggunakan teknologi seperti algoritma kecerdasan buatan (AI).
“Ini membantu mengesan kata kunci atau aktiviti berisiko, seterusnya membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas,” tambah beliau.
Penting juga untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya kandungan lucah dan eksploitasi seksual.
“Ibu bapa, penjaga dan kanak-kanak perlu diberi pendedahan tentang cara melaporkan dan mencegah jenayah ini. Pendidikan memainkan peranan utama dalam usaha ini,” katanya lagi.
Kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi seksual turut diberi perlindungan menerusi akta ini.
“Imej mangsa boleh dipadamkan daripada internet, dan pelaku akan dikenakan tindakan undang-undang.
“Kerajaan dan NGO juga menyediakan khidmat kaunseling serta pemulihan untuk memastikan kesejahteraan mental kanak-kanak terpelihara,” jelas Rozilawati.
Rozilawati juga mencadangkan agar akta ini sentiasa dikemas kini bagi menangani ancaman baharu, termasuk eksploitasi melalui aplikasi tersembunyi atau platform baru.
“Jenayah ini sering melibatkan pelaku antarabangsa. Jadi kerjasama dengan agensi luar negara amat penting untuk mengesan dan mendakwa pelaku di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Sebagai penutup, Rozilawati berharap keutamaan diberikan kepada perlindungan kanak-kanak melalui penguatkuasaan tegas terhadap Akta 588.
“Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. Akta ini perlu terus diperkasakan untuk memastikan masa depan mereka terjamin,” tegasnya.
