KUALA LUMPUR – Hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 sahaja akan dipanggil untuk menjalani khidmat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sekiranya ia dilaksanakan pada tahun 2024 nanti.

Menerusi akaun rasmi Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), suatu kenyataan telah dikeluarkan bagi memperjelaskan isu berkaitan had umur pelatih PLKN iaitu bermula umur 16 hingga 35 tahun yang mengundang banyak persoalan dari rakyat.

Dalam kenyataan tersebut, MINDEF telah menjelaskan bahawa Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan semula PLKN dan pemilihan pelatih adalah mengikut tahun kelahiran.

“Secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu iaitu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

“Ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0. Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka hanya remaja yang lahir pada tahun 2007 (16 tahun) akan dipanggil untuk menjalanni latihan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai PLKN atas sebab yang dibenarkan, maka mereka boleh memohon penangguhan.

“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun. Kementerian Pertahanan (MINDEF) berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” jelasnya.

Baca kenyataan penuh penjelasan mengenai penetapan umur bagi pelatih PLKN 3.0 menerusi akaun rasmi laman Facebook Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).

Pada Oktober lalu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula pelaksanaan PLKN 3.0 dengan menggunakan kaedah latihan berbeza berbanding sebelumnya, dengan anak muda yang akan menjalani latihan di kem tentera.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata sebanyak 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.

Sumber: BERNAMA, Facebook