Ketua pegawai operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata.
“Kos untuk melaksanakan fasa satu inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), dari 2020 hingga 2022, dianggarkan RM28 bilion.”
Beliau juga berkata 60% daripada kos itu dibiayai oleh pihak komersil manakala selebihnya daripada kerajaan melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat.
“Fokus kami kepada JENDELA ialah perbelanjaan yang digunakan untuk melaksanakan inisiatif itu adalah melalui sektor swasta dan kerajaan.
Kami memantau setiap perbelanjaan ini, kerana mereka (swasta) perlu menyampaikan semuanya kemudian baru mereka akan menuntut daripada kerajaan.
“SKMM memastikan semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika hadir sebagai tetamu di program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk ‘Kesalinghubungan Berkualiti Kesejahteraan Rakyat’ pada Khamis malam.
Seterusnya, beliau juga menegaskan bahawa SKMM sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri mengenai jumlah perbelanjaan bagi pelaksanaan JENDELA di negeri masing-masing.
“SKMM turun ke Negeri dan mereka ingin tahu berapa banyak yang dibelanjakan untuk negeri mereka.
Kami juga mempunyai pecahan itu dan juga akan berkongsi dengan mereka kerana negeri adalah pemegang kepentingan utama kerana mereka akan melakukan pelancaran (JENDELA), ” ujar beliau lagi.
JENDELA merupakan inisiatif yang direka untuk menyediakan liputan yang lebih luas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat ketika negara bergerak ke teknologi 5G.
JENDELA juga dilaksanakan secara berperingkat dengan Fasa Satu dari 2020 hingga 2022 dan Fasa Kedua dari 2022 hingga 2025.
