KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memulakan langkah pemantauan aktifiti pempengaruh dan usahawan digital di platform media sosial dan e-dagang mereka setiap hari, dengan tujuan untuk mengesan dan memastikan bahawa golongan berkenaan tidak mengelak dari tanggungjawab membayar cukai.
Tindakan pemantauan ini dilaksanakan melalui Seksyen Audit Ekonomi Digital, sebuah unit khas yang baru-baru ini ditubuhkan untuk menjalankan pemantauan ke atas aktiviti pempengaruh dan usahawan digital yang didakwa hidup mewah tetapi tidak mematuhi kewajipan cukai.
Antara golongan yang menjadi tumpuan agensi pengutip cukai adalah pengasas perniagaan dalam bidang produk kosmetik, peniaga mata wang asing, mata wang kripto, emas, pempengaruh di media sosial, personaliti terkenal di Instagram, YouTuber, dan individu yang terlibat dalam ekonomi gig.
Sebelum ini, terdapat banyak dakwaan dan laporan media yang menunjukkan bahawa beberapa pempengaruh dan usahawan dalam talian mempamerkan gaya hidup mewah, tetapi tidak semuanya mematuhi peraturan cukai yang ditetapkan.
Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur, menjelaskan bahawa melalui aktiviti pemantauan harian ini, agensi percukaian yakin akan dapat mengenal pasti pempengaruh dan usahawan digital yang tidak mematuhi undang-undang cukai.
“Hasil daripada pemantauan yang kami jalankan terhadap akaun mereka, kami akan mendaftarkan kes-kes baru dan memilih kes-kes untuk diaudit berdasarkan tahap risiko yang dikenal pasti oleh LHDN,” katanya.
Sumber Dari BH
