Dalam menempuh ketidaktentuan ekonomi, agihan belanjawan perlu dilakukan dengan sifat amanah, kejujuran serta ketelusan. Bukan lagi sekadar kata-kata yang keluar di mulut. Ia adalah sebuah iktikad iman besar yang perlu dijelmakan dan diucapkan oleh setiap penjawat awam seiring dengan perbuatan.

Mukadimah dari Ucapan Belanjawan 2023, Membangun Malaysia Madani iaitu dengan Firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 55 dimana “Jadikanlah aku pengurus penbendaharaan hasil bumi (mesir), sesungguhnya kau sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya (Amanah), lagi mengetahui (cara mentadbir).”

Jelas di sini merupakan satu pertanggungjawaban yang wajib dipikul oleh seluruh anggota perkhidmatan awam yang telah berjanji taat setia berkhidmat untuk negara.

Dalam masa yang sama kepantasan untuk memahami dan melaksanakan perbelanjaan yang diperuntukkan tanpa membuat kesilapan kali pertama amat dituntut. Tidak boros dan membazir dalam mengatur menyusun serta menetapkan belanjawan yang dipersetujui merupakan sesuatu kerja tanpa kompromi.

Belanjawan 2023 menggariskan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad.

  • Terangkum dan Mapan

Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mapan. Dimana ia melibatkan usaha-usaha kutipan perolehan dan meningkatkan hasil kerajaan yang berkesan serta progresif. Bukan itu sahaja, daya cipta dan kebijakan mengawal paras hutang negara turut dituntut. Dengan penetapan unjura ini pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus pada tahun 2023, langkah penguatkuasaan setiap agensi berasaskan hasil (contoh LHDN) hinggalah kepada agensi berasaskan perkhidmatan (contoh Universiti) harus dilampirkan dengan iltizam bersungguh-sungguh.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dihasilkan setiap agensi bukan lagi sekadar sebuah makalah dasar bagi tontonan sesuatu acara majlis semata-mata. Pelaksanaan yang digariskan pada Penunjuk Prestasi Teras (CPI) dan Projek Inisiatif Teras (CIP) harus difahami dan dilaksanakan oleh setiap warganya.

Pelbagai Papan Pemuka (dashboard) dan Papan Markah (scoreboard) yang menghiasi kompleksiti penyampaiannya harus dilibatkan secara mudah (engaged to facilitate) oleh pejabat strategis kepada seluruh warga penjawat awam.

Kesemuanya harus mendukung nilai Kemapanan yang menjadi Nilai Teras pertama “Malaysia Madani” iaitu mutu hidup seimbang berdasarkan citra Malaysia yang unik berasaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan. 

  • Belanjawan medium alat pulih keyakinan

Tekad Kedua ialah reformasi institusi dan tata kelola baik bagi pemulihan keyakinan. Tekad ini seiring dengan Nilai Teras kelima “Malaysia Madani” iaitu Keyakinan yang merujuk kepada menghidupkan harapan terhadap perubahan seiring sikap amanah melakukan perubahan ke arah kebaikan.

Inilah cabaran paling besar bagi perkhidmatan awam dan penjawat awam. Ia merupakan usaha mengembalikan semula keyakinan rakyat dengan anjakan medium pembaharuan urusan kerajaan agar lebih pantas, mudah dan telus. alam menterjemah, melaksana dan mengagih belanjawan negara – penjawat awam harus bersikap profesional, adil, objektif dan tidak politikal.

Dalam mengurus sejumlah peruntukan belanjawan antara elemen negatif yang perlu diberikan perhatian ialah tiadanya agihan dengan keputusan silo, mentaliti silo dan budaya silo. Ia harus dibuang jauh dengan usaha strategik meminimumkan pembaziran. Segala-galanya boleh dilakukan dengan sifat mahu berubah dan menerima perubahan. Perubahan adalah merupakan satu “Hijrah” pergerakan, perpindahan atau peralihan daripada satu keadaan kepada keadaan yang berbeza lebih baik. Mentaliti yang tidak mahu berubah kerana faktor keselesaan sedia ada, tidak mahu wujud konflik dan tidak mahu ambil risiko yang tidak pasti harus dibuang jauh.

  • Menyederhanakan Kesenjangan

Keadilan sosial untuk menyederhanakan kesenjangan. Penjawat awam perlu hadam dan menjiwai senario ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat. Sifat ihsan (kesedaran) dan rahmah (belas kasihan) harus diteliti dalam kepelbagaian agihan peruntukan belanjawan yang dipertanggungjawabkan.

Nilai Teras “Malaysia Madani” keenam iaitu Ihsan menggagaskan penjawat awam yang belas ihsan nasib semua pihak melalui tindakan-tindakan pemberdayaan kemanusiaan. Ia juga harus dipasakkan bersama Nilai Teras “Malaysia Madani” keempat iaitu Hormat yang merujuk kepada perilaku budi bahasa penjawat awam kepada kekayaan tradisi, merayakan kemajmukan dan meraikan perbezaan pandangan.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang dibentang untuk kali ke duanya pada penghujung bulan Februari memerlukan sektor awam mengurus, mengagih dan melaksana dengan tindakan pantas. Al Quran dalam Surah Al-Ra’ad (13:11) memetik: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Prejudis dan stigma masyarakat perlu dikikis. Nilai kerjasama dalam kalangan ahli sektor awamlah yang paling penting dalam melahirkan seberapa banyak sumber dan tenaga yang dapat digarap dan bergerak sederap.

Baki 6 bulan yang tinggal harus dimanfaatkan sepenuhnya. Marilah berubah dan bersatu dalam mengalas kepercayaan rakyat demi kesejahteraan ekonomi negara. Setiap wang rakyat dipulang semula kepada rakyat dengan pengurusan belanjawan berkesan.

– BERNAMA