SHAH ALAM, 15 Disember – Kejohanan Bowling anjuran Persekutuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menarik penyertaan 28 pasukan dari pelbagai negeri dan fakulti dalam edisi sulungnya yang berlangsung di Alam Lanes, AEON Shah Alam, semalam.
Kejohanan yang berlangsung meriah itu menjadi platform untuk alumni berkumpul, bersukan dan mengeratkan silaturahim, selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Presiden Persekutuan Alumni UiTM, Saiful Azhar Shaharun, berkata acara ini bukan sekadar pertandingan, tetapi peluang untuk memperkukuhkan hubungan antara alumni UiTM.
“Kami amat gembira dengan sambutan luar biasa daripada alumni. Acara seperti ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan tetapi juga menjadi wadah untuk membina rangkaian dan mengekalkan semangat kebersamaan walaupun selepas meninggalkan kampus.
“Insya-Allah, kami akan meneruskan inisiatif ini pada masa hadapan dan berharap ia mampu menjadi platform mengumpul dana untuk pelbagai aktiviti alumni,” katanya.
Kejohanan tersebut menyaksikan pasukan dari Shah Alam dinobatkan sebagai juara dengan jumlah jatuhan pin tertinggi sebanyak 2,264, membawa pulang hadiah berupa piala pusingan dan wang tunai RM1,000.
Kapten pasukan, Fauzi, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras dan kerjasama berpasukan.
“Kemenangan ini adalah sesuatu yang amat kami banggakan. Ia bukti bahawa latihan dan semangat berpasukan memainkan peranan penting dalam mencapai kejayaan,” katanya.
Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan dari Persatuan Alumni Fakulti Sukan & Rekreasi, manakala pasukan dari Persatuan Alumni Melaka (UMAT) dan Persatuan Alumni Pahang masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500, RM300 dan RM200 beserta pingat eksklusif alumni.
Seorang peserta, Roslan Abu Bakar, berkata penyertaannya dalam kejohanan itu memberikan pengalaman yang amat bermakna.
“Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini. Selain bersukan, saya juga berpeluang bertemu rakan-rakan lama sambil mempererat hubungan,” katanya.
Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik, menjadikan kejohanan ini lebih istimewa bagi para peserta.
Penganjur berharap kejohanan ini dapat diperluas pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan, termasuk dari alumni luar negara, untuk terus memupuk semangat kesukanan dan kebersamaan dalam kalangan keluarga besar UiTM.
credit : FB/ Persekutuan Alumni UiTM