PUTRAJAYA, 29 Okt – Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya memimpin rantau ini apabila berjaya menutup tirai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan dengan kejayaan besar selepas tiga hari penganjuran yang penuh bersejarah.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kali ini menyaksikan sebanyak 80 dokumen penting diterima dan diluluskan, termasuk kenyataan bersama antara ASEAN dan rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, India, New Zealand dan Australia.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata kejayaan itu menggambarkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju yang mampu memperkukuh kesepaduan ASEAN serta mengemudi agenda serantau ke arah masa depan yang lebih inklusif dan berdaya tahan.
“Sidang kemuncak ini bukan sahaja menegaskan komitmen Malaysia terhadap kestabilan dan kemakmuran rantau, tetapi juga mengangkat suara ASEAN sebagai satu blok yang bersatu dan progresif di peringkat global,” katanya.
Beliau menambah, kejayaan penganjuran sidang ini meletakkan ASEAN di landasan kukuh untuk menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi semasa, sekali gus memperkukuh keyakinan dunia terhadap keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah dan peneraju utama dalam diplomasi serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini turut menjadi platform penting bagi pemimpin rantau membincangkan hala tuju strategik baharu ASEAN, termasuk dalam bidang ekonomi digital, kemampanan alam sekitar dan keselamatan serantau.
