Pemberian subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun ini dan pengapungan harga bermula pada 1 Julai, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Perkara ini dimaklumkan menerusi jawapan lisan dimana menjawab pertanyaan Mas Ermieyati Samsudin (PN- Masjid Tanah) berhubung tempoh harga ayam dan telur yang akan diapung.
Bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan selepas subsidi ditamatkan, KPKM melaksanakan mekanisme “soft-landing” (pemulihan bertahap).
Tambahan, penamatan itu bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika itu.
Antara yang perlu dilaksanakan ialah memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup kecuali “Day Old Chick” (DOC), ayam bulat, dan keratan ayam sepenuhnya dan benarkan pengimportan ayam dan telur dari pelbagai negara yag sumbernya diiktiraf.
“Bagi pengimportan ayam, negara sumber yang dibenarkan termasuklah Thailand, China, Brazil, dan Denmark. Manakala bagi pengimportan telur, negara sumber yang dibenarkan ialah Thailand dan Ukraine,” katanya.
Kerajaan akan meneruskan program simpanan stok ayam bulat di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan program Program Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
“Program Jualan Agro Madani oleh Fama memasarkan pelbagai hasil pertanian termasuk telur, dengan harga 5 hingga 10% lebih rendah dari pasar basar setempat, terutamanya di kawasan kumpulan berpendapatan rendah.
“Sehingga 8 Mei 2023, sebanyak 28,078,620 biji telur telah diedarkan melalui 369 outlet FAMA,” katanya.
– FMT
