IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari kepada 7,100 banduan dan tahananan yang sedang menjalani hukuman di penjara, pusat koreksional dan pusat pemulihan akhlak di Peral sempena sambutan ulangtahun keputeraan Baginda ke-67 yang disambut hari ini.
Orang Kaya Bendehara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin pada sidang media memaklumkan bahawa hidangan dari pembiayaan Baginda sendiri itu adalah atas sifat prihatin dan ihsan Baginda terhadapa kebajikan banduan dan tahanan terbabit.
Beliau berkata sumbang hidangan makanan tengah hari itu akan dibuat di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, dan Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, serta akan dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Perak.
“Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja akan mewakili Baginda di Penjara Taiping manakala Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) akan mewakili Baginda di Pusat Koreksional Kamunting.
“Orang Kaya-kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa Diraja (Orang Besar Jajahan Kinta) akan mewakili Baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, dan YDH Toh Paduka Indera (Orang Besar Jajahan Batang Padang) pula akan mewakili Baginda di Penjara Tapah,” jelasnya.
Katanya makanan akan dihidang dalam bentuk buffet dan agak istimewa berbanding makanan biasa yang dihidangkan untuk mereka.
Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 238 penerima sempena sambutan berkenaan.
Sumber: BERNAMA
