KUALA LUMPUR – Tahap kepuasan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan peningkatan positif berdasarkan hasil tinjauan terbaharu yang dijalankan oleh Merdeka Center bagi bulan Mei 2025.

Kajian melibatkan 1,208 responden di seluruh negara antara 12 hingga 23 Mei lalu itu mendapati, 53 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi Anwar, meningkat dua mata peratusan berbanding 51 peratus pada Mac lalu.

Sementara itu, peratusan yang tidak berpuas hati menurun kepada 43 peratus, berbanding 45 peratus sebelum ini. 

Peratusan yang tidak pasti atau enggan menjawab pula kekal rendah pada empat peratus.

Peningkatan itu dilihat sebagai petunjuk bahawa dasar dan naratif Kerajaan MADANI yang diterajui Anwar mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat, khususnya melibatkan usaha menangani kos sara hidup serta usaha memulihkan ekonomi negara.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berpandangan bahawa peningkatan tersebut mencerminkan perubahan persepsi awam terhadap pendekatan kerajaan.

“Pada pandangan saya, peningkatan yang berlaku menunjukkan tanda persepsi awam terhadap naratif dan kerangka MADANI mula diterima dalam kalangan masyarakat. 

“Antaranya melibatkan usaha dan inisiatif kerajaan mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin mencabar dan bantuan-bantuan yang disalurkan kepada golongan rentan,” katanya kepada Negara News. 

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa penerimaan ini masih berada pada tahap sederhana dan belum menyeluruh.

“Kerajaan perlu memastikan masyarakat terus cakna dengan perubahan dasar yang dilakukan melalui komunikasi yang berkesan dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap usaha-usaha yang dijalankan. 

“Ia memerlukan kerjasama pelbagai agensi, kementerian, pihak swasta dan badan bukan kerajaan melalui pelbagai saluran sedia ada,” ujarnya.

Dr. Umi turut menegaskan bahawa pendekatan dan bantuan yang diberikan perlulah bersifat menyeluruh dan inklusif supaya naratif Kerajaan MADANI benar-benar mencerminkan potensi sebagai pemerintah yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

Merdeka Center dalam laporannya turut menjelaskan bahawa meskipun terdapat peningkatan tahap kepuasan, pengundi masih kekal kritikal terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani kadar inflasi dan isu penyediaan peluang pekerjaan iaitu dua perkara utama yang terus menjadi kebimbangan rakyat ketika ini.