MAINE – Lebih kurang 22 orang awam disahkan terkorban, manakala 13 lagi tercedera dalam dua insiden tembakan rambang di Lewiston, Maine, Amerika Syarikat.
Menurut AP News, insiden tembakan rambang itu bermula di Just-In-Time Recreation Bowling Centre pada jam 6.56 petang Rabu, sebelum bersambung di Schemengees Bar and Grille kira-kira 12 minit kemudian. Sewaktu kejadian, liga boling kanak-kanak sedang berlangsung di pusat boling itu, justeru ramai kumpulan ibu bapa dan anak-anak kecil mereka sedang berkumpul di tempat berkenaan.

Polis Daerah Maine dalam siasatan awal mereka, telah menerima rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam Just-In-Time Recreation Bowling Centre.
Berdasarkan rakaman tersebut, suspek dapat dilihat dengan jelas sedang memegang sebuah senapang jenis raifel automatik (auto-rifle) yang dipercayai adalah senjata yang sama digunakan untuk melakukan tembakan rambang itu.

Suspek yang telah dikenalpasti sebagai Robert Card, 40, merupakan seorang pengajar senjata api bertauliah yang juga mempunyai jawatan sebagai anggota pasukan simpanan tentera Amerika Syarikat.
Menurut statistik Gun Violence Archive (GVA), setakat tahun 2023, kes tembakan rambang di Lewiston, Maine disenaraikan sebagai insiden paling buruk antara 36 kes tembakan rambang yang pernah berlaku di Amerika Syarikat.
Dalam satu hantaran di laman Facebook Jabatan Polis Lewiston, mereka meminta orang awam atau mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil beri kenyataan bagi membantu siasatan serta untuk menjejaki suspek.
“Robert Card, 40, dianggap bersenjata dan berbahaya. Sila hubungi penguatkuasa undang-undang jika anda mengetahui keberadaannya,” jelasnya dalam hantaran tersebut.
Suspek kini masih bebas, justeru orang awam diminta untuk berwaspada dan dinasihatkan agar duduk sahaja dirumah buat sementara waktu sehingga suspek didalam tahanan pihak polis.
Waran tangkap suspek telah pun dikeluarkan dan sehingga hari ini, polis sedang giat menjejaki Card di seluruh daerah Maine, termasuklah mengawasi sempadan Amerika Syarikat-Kanada kerana dikhuatiri suspek akan melarikan diri ke luar negara.
Sumber: AP News, CNN News
