KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan.
Keputusan Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), bertujuan menjamin projek yang tergendala itu disiapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana terdapat projek-projek yang perlu diselesaikan termasuk LCS.
“Kenyataan akan dikeluarkan. Kerajaan ada projek yang mesti diselesaikan termasuk LCS. Kita tiada pilihan, sudah belanja RM6 bilion, dia tak boleh tutup (hentikan projek).
“Kita kena ambil alih (projek LCS) dan selesaikan,” katanya ditemui media selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Jumaat, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang BNS sebagai anak syarikat kepada kementerian itu.
Beliau berkata bagaimanapun, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Ini kerana menurut Mohamad, selepas pembinaan LCS itu siap dibina di limbungan, ia perlu menjalani dua ujian, iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut, yang mengambil tempoh antara 22 hingga 24 bulan.
Media sebelum ini melaporkan LCS pertama yang dijadual siap tahun depan, dijangka hanya mula beroperasi sekitar 2026 kerana perlu menjalani beberapa ujian dan penilaian terlebih dahulu.
Pembinaan kapal LCS terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun sudah disiapkan walaupun kerajaan sudah membelanjakan RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Isu berkenaan kapal perang berkenaan menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.
Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.
Sumber : AWANI
