SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak permohonan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad supaya defendan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dirujuk untuk menyokong isu saman fitnah RM150 juta beliau terhadap Perdana Menteri ke-10 itu disini, Isnin lalu.
Menurut sumber dari Bernama, peguam yang mewakili Anwar, Alliff Benjamin Suhaimi berkata bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain telah menolak permohonan Tun Mahathir selaku plaintif atas alasan dokumen yang diminta tidak dirujuk secara spesifik dalam pernyataan pembelaan terpinda pemohon (Tun Mahathir) dan apa yang dirujuk dalam pembelaan itu adalah peristiwa atau transaksi pada masa lalu.
Beliau berkata, jika dokumen-dokumen itu wujud, ia akan menjadi pembelaan (Anwar) dan perlu dikemukakan ketika pengurusan kes di peringkat praperbicaraan. Peguam itu menambah lagi bahawa mahkamah telah menetapkan tarikh pada 3 November 2023 untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pihak untuk memaklumkan permohonan interlokutori lain, sekiranya ada.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Tun Dr Mahathir ketika dihubungi mengesahkan keputusan mahkamah hari ini.
Anak guamnya, Tun Mahathir mahu Anwar mengemukakan dokumen-dokumen yang dirujuk beliau dalam pernyataan pembelaan terpinda tentang dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Malaysia Internasional (MISC) pada 1997, tambah peguam itu lagi.
Tun Mahathir memfailkan saman terhadap Anwar pada awal Mei tahun ini berhubung ucapan beliau ketika majlis yang digelar “Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme” bertempatkan di Stadium Melawati di Shah Alam pada 18 Mac yang lalu.
Bekas perdana menteri itu mendakwa bahawa Anwar telah menyampaikan ucapan yang mengandungi beberapa kenyataan berunsur fitnah yang bertujuan mencemarkan nama baiknya. Perkara itu termasuk kenyataan kononnya Tun Mahathir ‘membolot’ harta untuk dirinya, anak-anak dan ahli keluarganya, serta telah memberi layan istimewa atau keutamaan kepada individu berpangkat tinggi.
Bekas perdana menteri itu menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am dan RM100 juta sebagai ganti rugi teladan, selain permohonan maaf dan perintah agar defendan menarik balik semua kenyataan berunsur fitnah itu.
