RIYADH – Sidang Kemuncak Tergempar Organisasi Kerjasama Islam (OIC) yang ke-8 berlangsung di Riyadh pada Sabtu untuk membincangkan situasi krisis di Semenanjung Gaza dan wilayah Palestin.
Menurut laporan media Arab Saudi, pemimpin dan wakil Liga Arab serta negara-negara anggota OIC turut serta dalam sidang tersebut, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga hadir dalam Sidang Kemuncak Tergempar OIC, menyeru negara-negara anggota OIC agar secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta memberikan bantuan kemanusiaan dengan segera kepada penduduk Gaza.
Dalam sambutannya pada sesi kedelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC, Anwar menyatakan harapan umat Islam di seluruh dunia untuk melihat hasil konkret dan tindakan nyata dari sidang tersebut yang berlangsung sepanjang hari.
“Saya menggesa semua anggota OIC untuk menggunakan saluran diplomatik mereka secara strategik dalam setiap dialog, sama ada secara dua hala atau pelbagai hala, di peringkat serantau atau antarabangsa.
“Marilah kita secara konsisten dan tegas menekankan isu ini melalui kempen diplomatik yang terpadu, untuk memulakan gencatan senjata dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” kata Perdana Menteri hari sabtu yang lalu.
Sebelum sidang kemuncak, dua mesyuarat persediaan telah diadakan, iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan OIC pada 9 November dan Mesyuarat Peringkat Menteri OIC pada 10 November.
Kedua-dua mesyuarat itu bertujuan mencapai konsensus mengenai draf akhir sidang kemuncak berkenaan, yang membincangkan kedudukan bersama negara-negara Arab dan Islam.
Kementerian Luar Arab Saudi mengumumkan bahawa selepas rundingan, satu sidang kemuncak bersama negara-negara Arab-Islam mengenai perkembangan terkini di Semenanjung Gaza akan diadakan pada Sabtu.
SUMBER : BERITA HARIAN, BERITA HARIAN

