KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan dua mesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan sistem perlindungan sosial dan hala tuju sektor pelancongan negara di sini, semalam.
Kerajaan Setuju Memperhalusi Cadangan Perluasan Liputan Perlindungan Sosial Untuk Rakyat
Kerajaan bersetuju memperhalusi cadangan perluasan liputan perlindungan sosial secara berfasa ke atas populasi umur bekerja rakyat Malaysia yang mencapai usia 18 tahun bagi menjamin pendapatan hari tua bermula tahun depan.
Anwar berkata perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-6, Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikannya semalam.
“Pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) membawa cadangan ini untuk kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM),” jelas beliau dalam kenyataannya yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, di sini.
Beliau berkata melalui mesyuarat itu, kerajaan telah membincangkan liputan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan komprehensif kepada rakyat terutama kumpulan rentan dan mereka yang berada dalam sektor tidak formal.
“Kerajaan sentiasa meneliti kaedah terbaik dalam meningkatkan liputan keselamatan sosial kepada populasi umur bekerja terutamanya yang berada dalam sektor tidak formal selain berusaha untuk mengatasi jurang kemahiran dalam sumber manusia serta memastikan kemampanan pembiayaan perlindungan sosial,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan menyasarkan agar jaringan keselamatan sosial negara dapat diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, malah ia perlu segera diterjemahkan kepada pelan tindakan yang dapat dilihat, dirasai dan dinikmati oleh rakyat yang berhak ke atasnya.
“Hasrat tersebut boleh dicapai melalui penyelarasan dan pelaksanaan program-program perlindungan sosial secara inklusif serta program peningkatan kapasiti dan keupayaan kumpulan sasar yang bersepadu,” ujarnya dalam kenyataan yang sama.
Anwar berkata perlindungan sosial yang mampan mampu memastikan setiap rakyat kekal menikmati taraf hidup yang wajar ketika mereka berdepan dengan sebarang risiko di sepanjang kehidupan.
Pelan Liberalisasi Visa Diteruskan Untuk Tahun Melawat Malaysia 2026
Kerajaan akan terus melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa melibatkan peranan semua kementerian termasuk menteri dari sektor perladangan, sektor pengangkutan, sektor ekonomi, sektor kesihatan dan sektor lain yang terkait dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Anwar berkata perkara itu merupakan antara yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Mengenai Hala Tuju Sektor Pelancongan Negara yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang juga dipengerusikan oleh beliau semalam.
“Mesyuarat ini adalah susulan dengan pengumuman Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), di mana fokus akan diberikan kepada pelancongan lestari yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerajaan juga akan terus melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa melibatkan peranan semua kementerian dalam menjayakan VM2026 yang akan datang.
“Hasil keputusan mesyuarat ini akan dipantau melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) yang dipengerusikan YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar juga berharap agar sektor pelancongan negara kembali pulih selain terus cemerlang pada masa yang akan datang.
Sumber: Astro Awani, Utusan Malaysia, X (Twitter)








