Anwar dan Srettha ketika di Thailand Customs House

SADAO – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa cadangan Thailand untuk membangunkan projek jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Pasifik dan Hindi yang memintas Selat Melaka akan memberi manfaat kepada Malaysia.

  • Anwar dan Srettha di Thailand
  • Anwar dan Srettha di Thailand

Menurut beliau, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah memberi komitmen bahawa Malaysia akan turut dilibatkan dalam pelaksanan projek tersebut.

Begitupun, Anwar menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk Malaysia membuat keputusan untuk menyertai projek itu atau mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan projek berkenaan.

“Dalam perbincangan tadi (semalam), memang (dimaklumkan Srettha) akan libatkan Malaysia, dan sudah tentu (ianya) akan memberi manfaat kepada negara ini terutamanya sebelah utara Semenanjung.

“Jadi bagi kita, akan ada faedah dan kita akan memanfaatkan kemudahannya di situ. Cuma cara terperincinya, sama ada kita menyertai atau tidak aktiviti itu masih terlalu awal untuk kita bincangkan.

“Begitupun, berdasarkan semangat perbincangan itu, Perdana Menteri Thailand (Srettha) berkata, mereka akan pastikan Malaysia dapat manfaat,” jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia bersama Perdana Menteri Thailand, pada Isnin lalu.

Anwar dan Srettha
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand Srettha Thavisin menyertai lawatan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di sini hari ini – FOT0 : Fath Rizal/Prime Minister’s Office of Malaysia

Anwar Berhasrat Rancangan Pembinaan Baharu Rantau Panjang Menyeberang Sungai Golok Diteruskan

Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut melawat Kompleks CIQS Sadao yang masih dalam pembinaan dan membincangkan isu berkaitan jajaran baharu laluan pintu masuk utama darat antara dua negara terbabit.

Anwar berkata, Malaysia komited dalam menyelesaikan isu jajaran baharu berkenaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik di pintu sempadan sedia ada.

“Kalau kita lihat (pembinaan) CIQS Sadao lebih cepat berbanding kita. Walaupun CIQS kita lebih awal (siap) daripada Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu kita siapkan segera, tapi mengambil sikit masa kerana menyentuh laluan kawasan tentera.

“Kita akan berunding dalam tempoh dua minggu untuk memuktamadkan. Saya tak mahu perkara ini tertangguh lagi kerana sikap kerajaan Thailand sekarang lebih lunak dan akrab, mahu menjadikan kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Dalam laporan media lain, Anwar memaklumkan telah menyatakan hasrat kepada kerajaan Thailand bagi meneruskan rancangan pembinaan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Menurutnya, Malaysia sudah bersedia dan hanya menunggu jawapan daripada kerajaan Thailand.

“Kita sudah bersedia dan hanya tunggu maklum balas daripada Thailand untuk beri keputusan atau jawapan.

“Jika mereka bersetuju, ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan dan kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA), kemudian segerakan pembinaan Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.

“Saya juga akan maklumkan kemajuan ini kepada Menteri Besar Kelantan supaya dapat membantu mempercepatkan proses ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan kerja sehari ke Sadao pada Isnin lalu untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Thailand bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin.

Baca berita penuh disini.

SUMBER: BERNAMA, Astro Awani