KUALA LUMPUR – Tindakan mengeluarkan pesakit yang stabil daripada Institut Jantung Negara (IJN) dibuat bagi membolehkan lebih ramai pesakit lain yang lebih kronik dirujuk dan mendapat rawatan di fasiliti berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan pembiayaan tahunan Persekutuan yang diterima daripada Kementerian Kewangan bagi merujuk pesakit jantung ke lJN.
Mereka mengatakan bahawa untuk memastikan lebih ramai pesakit lain dirujuk ke IJN, pesakit yang sudah ada boleh dibenarkan pulang jika keadaan mereka sudah stabil sebelum dirujuk ke pusat jantung KKM yang lain.
“KKM mempunyai tujuh hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tiga termasuk mempunyai Perkhidmatan Kardiotorasik.
“Pusat Jantung KKM juga diuruskan Pakar Kardiologi dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang memiliki reputasi serta bertauliah. Paling penting, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit terbabit tidak terjejas,” ujar dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau turut menambah kenyataan dengan mengatakan KKM merujuk kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di pusat jantung KKM yang lain.
DAKWAAN PENJIMATAN KOS OLEH KKM KERANA MENGELUARKAN PESAKIT ?
Sebelum ini, KKM telah menafikan laporan yang menyatakan bahawa IJN kini sedang dalam proses mengeluarkan semua pesakit dari kalangan penjawat awam dan pesara sebagai langkah penjimatan kos untuk kerajaan.
Menurut kenyataan KKM, IJN hanya akan melepaskan pesakit yang sudah stabil setelah menjalani pemantauan selama sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan satu hingga dua tahun bagi kanak-kanak.
KKM turut menyatakan bahawa pesakit yang telah mencapai kestabilan akan dikembalikan kepada hospital KKM untuk meneruskan penjagaan di jabatan kardiologi dan kardiotoraks.
“Pendekatan strategik ini membolehkan kira-kira 4,000 pesakit baharu dirujuk ke IJN setiap tahun, sekali gus memaksimumkan keberkesanan kos.
“Perlu ditekankan, kos membabitkan rujukan pesakit kepada IJN dibiayai perbelanjaan Persekutuan yang disediakan Kementerian Kewangan.
Walaupun perbelanjaan untuk rujukan ini meningkat setiap tahun, langkah kawalan kos yang berhemat adalah penting untuk merawat seramai mungkin pesakit dengan sumber sedia ada, selain memastikan keadilan kepada pembayar cukai,”tambahnya lagi.
Salah tanggapan berhubung perkhidmatan kardiologi di negara ini dan hubungan kerjasama antara KKM dan IJN adalah penting untuk dijelaskan, kata KKM.
Katanya, sehingga 1992, IJN dikendalikan di bawah Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), namun ia kini sebuah entiti korporat milik kerajaan, khusus dalam perkhidmatan kardiovaskular dan kardiotoraks.
“Sepanjang dua dekad lalu, IJN dan KKM kekal sebagai rakan kongsi lama, dengan IJN memberi sokongan kepada hospital awam melalui rujukan pesakit.
“Ketika ini, 10 hospital KKM menawarkan perkhidmatan kardiologi dan tujuh menyediakan perkhidmatan kardiotoraks seluruh negara,” kata Dr Dzulkefly Ahmad.
KKM menyatakan bahawa bersama-sama dengan hospital terlibat, IJN berperanan sebagai pusat rujukan untuk pesakit yang memerlukan perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraks, termasuk penjawat awam, pesara, dan tanggungan mereka.
Mereka menegaskan bahawa, tidak seperti yang disyaki oleh artikel tersebut, hospital-hospital di bawah KKM dilengkapi dengan kemudahan lengkap dan dikelola oleh pakar perubatan serta pakar bedah yang bertauliah. Ini membuktikan bahawa perkhidmatan yang ditawarkan di hospital KKM setaraf dengan perkhidmatan di IJN.
“Strategi merujuk kes yang rumit dan kritikal kepada IJN adalah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber dan memastikan akses orang awam kepada perkhidmatan hospital KKM.
“Jadi, berkongsi beban pesakit dengan IJN tidak boleh disalah anggap sebagai sebarang bentuk ketidakupayaan oleh hospital KKM,” ujarnya lagi.
SUMBER : BERITA HARIAN, KKM
