PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa usaha berterusan dalam mengurangkan defisit fiskal negara agar tidak memberi beban kepada generasi akan datang.
Beliau menyatakan pentingnya usaha dan inisiatif berterusan untuk mencapai sasaran defisit fiskal yang lebih rendah, sambil memulihkan keyakinan pelabur domestik dan asing.
Anwar menjelaskan bahawa pelaburan negara mencapai rekod tertinggi dalam sejarah, didorong oleh keyakinan pelabur dalam dan luar negara.
Beliau juga menyoroti prestasi ekonomi yang baik, dengan inflasi dan kadar pengangguran yang rendah.
“Pelaburan (negara) masuk dengan rekod tertinggi dalam sejarah kerana keyakinan pelabur domestik dan luar.
“Inflasi kita juga berada di tahap rendah dan kadar pengangguran juga kian rendah,” kata beliau pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 di sini, hari ini.
Pada akhir Disember 2023, hutang kerajaan mencapai RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Walau bagaimanapun, pertumbuhan hutang pada tahun 2023 lebih rendah, iaitu 8.6 peratus berbanding 10.2 peratus pada tahun 2022.
Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023, meningkat 23 peratus berbanding tahun 2022, menjadikannya jumlah tertinggi dalam sejarah negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meramalkan prospek pelaburan Malaysia kekal cerah, dengan pertumbuhan antara lapan hingga 10 peratus.
Anwar menyatakan bahawa walaupun nilai ringgit mengalami penurunan, Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengawalnya.
Beliau menegaskan bahawa situasi ini tidak sebanding dengan krisis kewangan pada tahun 1998, dan perlu dilihat dalam konteks keseluruhan.
“Tidak wajar untuk dikaitkan dengan soal ringgit (yang rendah) padahal inflasi kita juga berada di paras yang rendah.
“Semasa berlaku krisis kewangan 1998, nilai ringgit jatuh merudum dan inflasi terus melonjak. Pelaburan juga tiada, pengangguran meningkat dan syarikat yang jatuh muflis mencecah ratusan ribu.
“Hal sedemikian tidak berlaku pada masa ini dan kita harus melihat dalam konteks keseluruhan,” ujar Anwar.
Anda boleh menonton Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) di sini ;
SUMBER : BERNAMA
