LAHAD DATU, SABAH – Seorang pelajar lelaki di kolej vokasional bernama Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi pada 22 Mac yang lalu.
Mohammad Nazmie meninggal dunia dipercayai kerana dibelasah dan ditemui terbaring dengan kecederaan serta lebam di dalam asrama di Kolej Vokasional Lahad Datu.
Dr Rohan Shah Ahmad selaku Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP menyatakan dalam satu kenyataan, ia berpunca dari perselisihan faham antara mangsa yang terkorban dengan pelajar yang lain.
APA PUNCA SEBENAR TERJADINYA INSIDEN INI ?
Selepas siasatan dari pihak polis, perselisihan faham antara pelajar dan mangsa menjadi punca utama insiden ini.
Namun, dipercayai perselisihan faham itu bermula dari kehilangan wang berjumlah RM35 dan RM50 dipercayai punca pelajar mati dipukul oleh rakan penghuni asrama Kolej Vokasional di sini, semalam.
Dr Rohan berkata timbulnya masalah antara dua pelajar di asrama berkaitan kehilangan wang berjumlah RM50 dan RM35.
“Mangsa dituduh sebagai pencuri dan dipukul sehingga mati oleh semua suspek.
“Polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki kolej vokasional yang berusia 16 hingga 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini bagi membantu siasatan,” – katanya dalam kenyataan media, dua hari yang lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu itu, pihak Mahkamah Lahad Datu telah membenarkan tahanan reman selama enam hari bermula 23 hingga 29 Mac 2024.
“Setakat ini, polis turut mengambil keterangan ke atas 12 saksi bebas yang antaranya empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar kolej terbabit.
“Selain daripada itu, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah dan polis turut merampas lagi 12 telefon pintar milik suspek,”ujarnya.
Pada masa yang sama, Dr Rohan juga pihak polis sedang menunggu laporan penuh dan terperinci bedah siasat mangsa daripada Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi mengenal pasti punca kematian yang sebenar-benarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
REAKSI KELUARGA MANGSA SELEPAS INSIDEN TERSEBUT
Keluarga Muhd Nazmie enggan mengeluarkan apa-apa komen berhubung tragedi yang menimpa mangsa.
Ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu pada 23 Mac yang lalu, salah seorang daripada ahli keluarga mangsa meminta untuk diberikan ruang dan enggan diganggu.
“Buat masa ini kami tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan. Harap maklum,” ujar ahli keluarga mangsa.
Dilihat ahli keluarga mangsa masih dalam keadaan terkejut dan sukar menahan kesedihan atas tragedi yang berlaku terhadap pelajar terbabit.
Sama-sama kita doakan dipermudahkan urusan ahli keluarga mangsa, dan pelaku yang didapati bersalah supaya dikenakan hukuman yang setimpal untuk mereka.
SUMBER : ASTRO AWANI , BERITA HARIAN, BERITA HARIAN, NEGARANEWS



