TOKYO – Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan pentas Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di sini hari ini untuk menegaskan mengenai status Malaysia sebagai destinasi selamat untuk pelaburan.

Perdana Menteri berkata, status itu penting ketika pelabur khususnya dalam sektor pembuatan mencari-cari destinasi selamat di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di seluruh dunia.

“Saya berani katakan bahawa Malaysia sesuai dengan keperluan (destinasi selamat untuk tujuan pelaburan)… terima kasih kepada kestabilan kita, tenaga buruh yang mahir, serta keadaan ekonomi dan geopolitik kita.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Buktinya (kesesuaian Malaysia sebagai destinasi pelaburan) adalah pada angka. Pada 2023, Pulau Pinang selaku hab semikonduktor Malaysia menarik AS$13 bilion dalam pelaburan langsung asing, melebihi jumlah gabungan untuk tujuh tahun sebelumnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar menjadi pemimpin pertama menyampaikan ucaptama pagi ini dengan ucapan beliau berkisar tema ‘ASEAN Leadership In an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan.

Malaysia Negara Yang Neutral ?

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia selaku sebuah negara yang tersangat neutral tidak akan menjadi sebahagian daripada pemikiran ‘perang dingin’ di sebalik ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Tiada sesiapa, tiada negara harus menentukan (apa yang dilakukan oleh negara lain).

“Kami akan memutuskan sendiri apa yang terbaik untuk negara kami,” katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan Malaysia dalam konteks persaingan yang semakin meningkat antara AS dan China.

Anwar menegaskan AS sudah menjadi sekutu tradisional kepada Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957.

Manakala dalam konteks hubungan dengan China, Anwar berkata Malaysia mengiktiraf kekuatan ekonomi dan ketenteraan negera itu yang semakin meningkat, malah China disifatkan beliau sebgaai jiran penting yang ‘terlalu dekat dan terlalu strategik’ untuk diabaikan.

Berhubung isu dengan China termasuk tuntutan wilayah di Laut China Selatan, Anwar berkata ada forum khusus untuk menangani perkara itu.

Begitu juga, katanya, walaupun Malaysia mempunyai masalah dengan AS, ini tidak bermakna memutuskan hubungan.

SUMBER : BERITA HARIAN , BERITA HARIAN