INISIATIF kerajaan melaksanakan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) merangkumi pelesenan media sosial disambut baik orang ramai.

Langkah itu disifatkan sebagai pendekatan berani dan progresif dalam usaha menangani cabaran ekosistem dalam talian yang semakin membimbangkan.

Seorang kakitangan swasta, Azatul Sheema Abas memuji usaha proaktif kerajaan dalam memperkenalkan peraturan tersebut.

Malah, beliau turut menekankan bahawa ia menjadi penanda aras dalam mengimbangi inovasi teknologi dengan keselamatan pengguna.

“Pada era masa kini, pengaruh media sosial sangat besar terutama buat generasi muda.

“Oleh itu, dengan pelaksanaan akta ini, diharap ia dapat mengekang pelbagai ancaman jenayah siber yang berleluasa di banyak platform,” ujarnya.

Bagi Nur Hanna Affifah Mohd Fazil pula mengakui, langkah itu penting dalam memberi perlindungan dan menjamin keselamatan pengguna.

Pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaya berkata, dirinya tidak terkecuali berdepan pelbagai risiko yang wujud di media sosial.

“Ia bukan sekadar kes-kes jenayah yang semakin kerap kita dengar, tetapi juga cabaran dunia maya mampu menyebabkan tekanan luar biasa.

“Bayangkan sehingga ada yang bertindak di luar batas seperti bunuh dan membunuh diri,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang pemuda, Harith Haikal Mohd Fauzi melahirkan harapan agar akta ini dapat dikuatkuasakan sebaiknya.

“Kita sedia maklum, dunia di hujung jari sekarang amat membimbangkan.

“Diharap dengan pelaksanaan Akta 588 ini, ia dapat membantu mengurangkan statistik jenayah siber di Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, pengendali platform media sosial juga digesa untuk memainkan peranan dengan lebih bertanggungjawab membendung salah laku di platform mereka.

Oleh itu, beliau berharap pelaksanaan akta tersebut secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan statistik jenayah siber di Malaysia.

“Tidak lupa, setiap individu perlu ada kesedaran menggunakan media sosial dengan sebaiknya,” ujarnya.