PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan cadangan pelaksanaan garis panduan bagi majlis yang melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cadangan tersebut dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar bagi menangani kekeliruan umat Islam berkenaan jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin mempunyai unsur keagamaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengambil inisiatif menyediakan garis panduan tersebut bagi memberi panduan kepada umat Islam.

Menurut kenyataan bersama Mohd Na’im dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, mesyuarat mendapati cadangan ini telah menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, bangsa dan agama di Malaysia.

Oleh itu, Jemaah Menteri bersetuju bahawa nasihat oleh JAKIM kepada umat Islam dalam menjaga akidah hanya akan bersifat panduan, bukan dasar.

“Setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu,” tegas kenyataan tersebut.

Kementerian Perpaduan Negara turut menekankan usaha berterusan melalui pelaksanaan Dialog Harmoni untuk memperkukuh keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, segala perkara berkaitan keharmonian antara agama akan dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI), yang dipengerusikan bersama oleh kedua-dua kementerian.

Mesyuarat pertama bagi tahun ini dijadualkan berlangsung bulan ini dan akan melibatkan 24 wakil daripada pelbagai agama termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao dan Baha’i.

“Malaysia sebagai sebuah negara dengan kepelbagaian budaya telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia.

“Kerajaan MADANI komited untuk memastikan kestabilan negara terus kukuh dengan rakyat hidup dalam suasana aman dan harmoni,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Usaha ini diharap dapat memperkuat perpaduan nasional dan mengekalkan keharmonian yang menjadi asas penting kestabilan negara.