PUTRAJAYA – Usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian terus diperkasa dengan pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Program berskala besar itu dirancang untuk menjangkau lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara selaras dengan matlamat kerajaan untuk melindungi rakyat dalam era digital yang semakin berkembang.

Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi, jelajah ini bersempena Hari Keselamatan Internet 2025 yang disambut pada 11 Februari lalu.

Kempen itu juga akan diperluas ke peringkat komuniti bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat memahami kepentingan keselamatan dalam talian serta langkah-langkah untuk melindungi diri.

β€œKerajaan MADANI komited dalam memperkukuh keselamatan digital negara dengan menyediakan ruang siber yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Salah satu fokus utama kempen ini adalah melarang kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial dan memastikan penggunaan internet dikawal selia oleh ibu bapa atau penjaga,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, kempen jelajah juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman seperti penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber dan jenayah pedofilia.

Program tersebut turut menekankan penggunaan internet secara selamat dan beretika sebagai asas kepada pembangunan masyarakat digital yang berdaya saing.

Pelancaran rasmi jelajah itu telah dilakukan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Universiti Malaysia Kelantan pada 21 Januari lalu.

Antara inisiatif penting yang disampaikan termasuk pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang telah diwartakan pada 7 Februari 2025 dan akan berkuat kuasa mulai 11 Februari 2025.

Pindaan ini bertujuan mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat dan lestari sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Statistik terkini menunjukkan sebanyak 35,368 kes jenayah dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan kerugian mencecah lebih RM1.5 bilion.

Data ini mengukuhkan lagi keperluan untuk mengambil langkah drastik bagi menangani ancaman digital yang semakin serius.

Kerajaan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan terhadap inisiatif ini.

Pada masa yang sama, setiap individu disarankan agar mengambil langkah proaktif dalam melindungi diri dan keluarga daripada sebarang ancaman siber.

Dengan kerjasama semua pihak, diharapkan keselamatan digital dapat ditingkatkan untuk memastikan ruang siber yang lebih selamat dan terjamin bagi generasi akan datang.