KEPIMPINAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di arena ASEAN dipercayai berpotensi besar untuk membawa perubahan signifikan kepada rantau Asia Tenggara.

Pensyarah Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, Anwar memiliki rangkaian persahabatan yang luas, baik di dalam mahupun di luar ASEAN serta dikenali dengan ketegasan dalam memperjuangkan isu-isu sejagat.

“Gaya diplomatiknya yang pragmatik dan proaktif dijangka mampu memperkukuhkan kerjasama antara negara anggota ASEAN serta mempereratkan hubungan dengan organisasi antarabangsa seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Kepimpinan ini diharap dapat mengangkat imej ASEAN di mata dunia, sekaligus memberikan manfaat kepada rakyat di rantau ini,” kata beliau ketika dihubungi.

Selain itu, Tunku Mohar juga menekankan bahawa peluang ini amat signifikan dalam mengisi makna Malaysia MADANI, mencerminkan dasar-dasar yang progresif dan berorientasikan rakyat.

“Tanggungjawab Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini menjadi satu peluang buat Perdana Menteri menjadikannya platform penting untuk membawa kemajuan dan mencorakkan hala tuju rantau ke arah masa depan yang lebih baik.

“Malah, melalui kepimpinan beliau juga, ia berpotensi mengangkat imej ASEAN di mata dunia,” ujarnya yang merupakan penganalisis politik tanah air.

Menurut Tunku Mohar, ASEAN yang ditubuhkan pada tahun 1967 pada awalnya lebih berfokus kepada menghadapi ancaman Sosialisme dan Komunisme berbanding membina kerjasama yang erat di rantau ini.

Walau bagaimanapun, hubungan kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN telah diperkuatkan sejak tamatnya Perang Dingin pada tahun 1991.

“Hari ini, ASEAN telah berkembang menjadi organisasi yang merangkumi hampir semua negara di Asia Tenggara, dengan Timor Leste bakal menyertai sebagai ahli ke-11 dalam masa terdekat.

“Saya percaya bahawa Malaysia mempunyai peluang besar untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai kuasa tengah (middle power) dengan mengambil peranan kepimpinan dalam menghadapi ketidaktentuan politik antarabangsa.

“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia bukan sahaja dapat memimpin organisasi ini ke arah hala tuju strategik, tetapi juga meningkatkan prestijnya di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.

Dalam pada itu, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN turut membawa peluang ekonomi yang besar.

“Sidang kemuncak ASEAN dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan membuka ruang untuk pemimpin negara serta delegasi perniagaan dari ASEAN dan rakan dialog global meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

“Hubungan erat ini bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada Malaysia, tetapi juga meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi di rantau ini,” tambahnya lagi.

Dengan populasi hampir 700 juta orang, ASEAN menjadi satu platform yang memberi kekuatan kolektif kepada negara-negara anggotanya.

Oleh itu, jelas Tunku Mohar, hubungan kerjasama ini mampu menjadikan ASEAN satu suara yang lebih berpengaruh dalam perhubungan antarabangsa sekali gus membangunkan ekonomi rantau bersama.

Ditanya mengenai Malaysia sebagai model kestabilan politik dan ekonomi, beliau berkata, Malaysia boleh menonjolkan kestabilan politiknya sebagai model untuk negara-negara serantau.

“Pendekatan diplomatik Malaysia dalam isu keselamatan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan menyelesaikan ancaman serantau dengan lebih berkesan.

“Dalam bidang ekonomi, pendekatan ekonomi terbuka Malaysia seiring dengan usaha negara-negara ASEAN untuk memajukan ekonomi mereka, menjadikan Malaysia sebagai rakan strategik yang penting.

“Apa yang pasti, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN bukan sekadar peluang untuk negara ini memimpin rantau Asia Tenggara, tetapi juga satu tanggungjawab besar untuk memperkukuh hubungan serantau, memajukan ekonomi dan menjamin kestabilan politik.

“Dengan sokongan kepimpinan Perdana Menteri yang berwawasan dan diplomatik, Malaysia berpeluang menjadi pemacu utama dalam memperkukuhkan ASEAN sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing dan dihormati di peringkat antarabangsa,” tegas beliau menutup bicara.