DALAM era globalisasi ekonomi yang semakin mencabar, hubungan perdagangan antarabangsa memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sesebuah negara.

Malaysia sebagai sebuah negara yang bergantung besar kepada eksport, tidak terlepas daripada kesan dasar proteksionis yang dilaksanakan oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS).

Salah satu cabaran utama ialah peningkatan tarif atau cukai import yang dikenakan oleh AS ke atas barangan tertentu dari Malaysia.

Tindakan itu bukan sahaja menjejaskan daya saing produk tempatan di pasaran global, malah turut memberi tekanan kepada sektor perindustrian dan pelaburan asing.

Justeru, Malaysia perlu merangka strategi yang mampan untuk menangani cabaran tarif ini demi memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, strategi diversifikasi pasaran adalah langkah kritikal untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pasaran AS khususnya dalam aspek perdagangan dan eksport.

Menurut beliau, strategi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan pendekatan holistik yang bertujuan memastikan kestabilan jangka panjang ekonomi negara.

“Salah satu pendekatan penting ialah memperluas kerjasama serantau dengan negara-negara berpotensi besar seperti China, Timur Tengah dan Asia Selatan.

“Negara-negara ini mampu menawarkan pasaran alternatif yang luas, sekali gus membuka ruang baharu untuk meneroka potensi perdagangan luar,” ujar Dr. Umi Hamidaton ketika dihubungi.

Beliau turut menekankan bahawa kepelbagaian pasaran dapat melindungi Malaysia daripada risiko ketidakstabilan akibat perang perdagangan, perubahan dasar perdagangan dan pengenalan tarif baharu oleh negara rakan dagang.

“Dengan membuka akses kepada lebih banyak negara yang menawarkan pengguna alternatif, kestabilan ekonomi tempatan dapat lebih terjamin,” katanya.

Tambahnya, beliau memilih strategi ketiga daripada enam strategi yang diumumkan, iaitu memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Hal ini kerana PKS memainkan peranan penting dalam menyokong rantaian bekalan eksport negara.

“Ramai pengeluar besar sebenarnya bergantung kepada PKS untuk penyediaan bahan mentah, logistik, pembungkusan dan perkhidmatan sokongan lain.

“Jika PKS gagal bertahan, keseluruhan ekosistem eksport negara bakal terjejas,” jelasnya lagi.

Malah, beliau turut menyifatkan PKS sebagai kumpulan yang paling rentan kerana mereka berhadapan kekangan sumber tenaga kerja, teknologi, modal dan akses pembiayaan.

“Justeru, strategi menyokong PKS adalah amat kritikal untuk menjamin daya tahan ekonomi.

“Selain itu, pelaksanaan strategi ini perlu dilakukan dengan cekap, baik dan efisien bagi memastikan impak positif dapat dicapai.

“Ini amat penting terutama bagi industri elektronik dan perladangan yang sangat bergantung kepada pasaran global,” ungkapnya.

Akhirnya, Dr. Umi Hamidaton mengingatkan bahawa cabaran terhadap pelaksanaan strategi ini datang daripada faktor dalaman dan luaran.

“Kurangnya penyelarasan antara agensi dalam pemantauan ekonomi serta ketegangan geopolitik akibat konflik menjadi halangan utama.

“Tambahan pula, sumber kewangan yang terhad menyukarkan usaha menyokong kelangsungan PKS dalam jangka panjang.

“Lantaran itu, kerjasama menyeluruh antara kerajaan, sektor swasta dan institusi kewangan amat diperlukan bagi memastikan strategi diversifikasi pasaran dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Hanya melalui usaha kolektif dan perancangan yang teliti, Malaysia mampu memperkukuh daya tahan ekonominya, mengekalkan pertumbuhan mampan serta terus bersaing dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar,” tegas beliau mengakhiri bicara.